Pemandu Myvi putih pandu secara bahaya ditahan

Pemandu Myvi putih pandu secara bahaya ditahan

Polis berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditahan sekitar Kuala Selangor, pada Isnin lalu.

Tangkap layar rakaman video memaparkan pemandu sebuah kereta Myvi membuat provokasi terhadap pemandu lain.
PETALING JAYA:
Polis menahan pemandu kereta Myvi putih yang memandu secara berbahaya dan membuat provokasi terhadap pemandu lain seperti tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Sarifudin Mohd Salleh, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di sekitar Kuala Selangor, Isnin lalu.

“Pemandu kereta jenis Perodua Myvi putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu itu telah ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 9 Mei.

“Suspek direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut laporan Kosmo!.

Beliau berkata, JSPT telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu.

Katanya, mangsa atau pemilik video papan pemuka yang tular serta saksi kejadian diminta untuk tampil ke Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian itu, polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengan tindakan pemandu kereta Perodua Myvi terbabit.

Kejadian berlaku ketika mangsa sedang memandu di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Taman Layang-Layang, namun secara tiba-tiba sebuah kereta Perodua Myvi berwarna putih yang berada di hadapan bertindak membrek sedikit demi sedikit seperti mahu mengganggu perjalanannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.