
Ketua Polis Ipoh, Najib Hamzah, berkata perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek berusia antara 24 tahun hingga 34 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret.
“Setakat ini, polis membuat tangkapan lanjut melibatkan tiga suspek di Pasar Awam Buntong, kira-kira 5.30 petang semalam. Permohonan reman dibuat hari ini dan telah dibenarkan dua hari hingga esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seorang rakan mangsa masih menerima rawatan di hospital kerajaan, manakala seorang lagi menerima rawatan lanjut di hospital swasta. Mereka dalam keadaan stabil tetapi masih lemah.
Najib berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham. Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dengan seorang suspek berumur 23 tahun direman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan.
Semalam, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring di tengah jalan dengan kesan kecederaan parah dipercayai akibat ditetak menggunakan senjata tajam di Buntong selepas polis menerima maklumat berkenaan kejadian pada kira-kira 11.10 malam, Isnin lepas.
Ketua Polis Perak, Noor Hisam Nordin, memaklumkan kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan antara kumpulan. Siasatan awal mendapati kejadian itu melibatkan konflik antara beberapa individu dalam kumpulan tertentu dan tidak mempunyai kaitan dengan isu perkauman.