
Menurut kedua-dua organisasi itu, kejadian berlaku ketika pengamal media terbabit membuat liputan susulan kes pencerobohan sekumpulan individu bertopeng di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin, yang kini dalam siasatan polis.
“Geramm dan NUJM memohon penjelasan dari pihak berkaitan, selari prinsip kewartawanan bukan jenayah (journalism is not a crime) dan keperluan perlindungan hak wartawan dalam menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan.
Pada 6 April lalu, sebuah pusat karaoke (KTV) di Taman Shamelin diceroboh lebih 50 individu bertopeng.
Kejadian itu tular menerusi video berdurasi 1 minit 11 saat yang memaparkan sekumpulan individu, kebanyakannya berpakaian hitam dan bersenjata, menyerbu masuk premis berkenaan.
Polis menyiasat motif kejadian, termasuk kemungkinan berkaitan dendam, perselisihan atau hutang. Beberapa peralatan di premis itu dilaporkan rosak.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.