Awas jerat kerja ‘like’ dan ‘share’, lebih 10,304 kes sejak Jan 2025

Awas jerat kerja ‘like’ dan ‘share’, lebih 10,304 kes sejak Jan 2025

Mangsa akan diminta buat bayaran pendahuluan kononnya untuk mendapat komisen sebelum akhirnya diperdaya tanpa menerima sebarang pulangan.

Sebanyak 10,304 kes membabitkan kerugian kira-kira RM251.2 juta dilaporkan sejak Jan 2025 berhubung tawaran ‘kerja sambilan mudah’ seperti menekan butang ‘like’ dan ‘share’. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tawaran kerja sambilan yang kononnya mudah seperti tugasan menekan butang ‘like’, ‘share’ atau pembelian barangan secara dalam talian kini menjadi taktik penipuan yang memperdaya orang ramai, khususnya individu yang mencari pendapatan tambahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Rusdi Isa, berkata kegiatan itu dikesan berdasarkan risikan dan maklumat yang dikumpul dalam tempoh 15 bulan dari Jan 2025 hingga 15 Mac lepas.

Beliau berkata sebanyak 10,304 kes direkodkan dalam tempoh berkenaan membabitkan kerugian kira-kira RM251.2 juta.

Selangor mencatat jumlah kes dan kerugian tertinggi, iaitu 2,684 kes melibatkan kerugian RM80.18 juta, diikuti Kuala Lumpur dengan 1,170 kes (RM36.47 juta), dan Johor merekodkan 1,443 kes (RM27.31 juta).

“Penipuan pekerjaan lazimnya melibatkan tawaran kerja sambilan, namun mangsa akan diminta membuat bayaran pendahuluan atau ‘top-up’ kononnya untuk mendapat komisen sebelum akhirnya diperdaya tanpa menerima sebarang pulangan.

“Sindiket ini menggunakan pelbagai platform media sosial dan aplikasi pesanan untuk memperdaya mangsa dan polis memandang serius kegiatan ini serta akan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau kumpulan yang terlibat,” katanya.

Golongan berusia 21 hingga 30 tahun mencatat jumlah mangsa tertinggi pada 2025, iaitu sebanyak 3,006 orang, diikuti 31 hingga 40 tahun (2,665), 41 hingga 50 tahun (1,489), 15 hingga 20 tahun (711), 51 hingga 60 tahun (700), dan 61 tahun ke atas (357).

Kumpulan umur 31 hingga 40 tahun mencatat jumlah tertinggi iaitu 435 mangsa, diikuti 21 hingga 30 tahun (388), 41 hingga 50 tahun (289), 15 hingga 20 tahun (108), 51 hingga 60 tahun (100) dan 61 tahun ke atas (56).

Golongan wanita menjadi mangsa paling ramai dengan 6,734 orang pada 2025 berbanding 2,194 lelaki, manakala bagi tempoh awal 2026, sebanyak 930 wanita direkodkan berbanding 446 lelaki.

Pekerja sektor swasta dikenal pasti sebagai kumpulan mangsa paling ramai terjerat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan dalam talian melibatkan 4,951 orang yang terdiri daripada 1,497 lelaki dan 3,454 wanita.

Kumpulan tidak bekerja merupakan mangsa kedua tertinggi dengan 2,523 orang terdiri daripada 2,207 wanita dan 316 lelaki, diikuti golongan pelajar sebanyak 864 orang.

“Penjawat awam turut merekodkan 717 mangsa diikuti pesara (320 orang), ahli perniagaan (370), guru (245), kerani swasta (244), kerani kerajaan (62) serta sektor keselamatan mencatat lapan mangsa.

“Trend ini menunjukkan sindiket menyasarkan golongan aktif bekerja, khususnya sektor swasta dengan tawaran kerja dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat,” katanya.

Poluis menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran pekerjaan dalam talian yang mencurigakan, terutama yang memerlukan bayaran pendahuluan atau pelaburan awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.