Menjelang PRU15, penganalisis jangka lebih ramai ‘kembali’ kepada Umno

Menjelang PRU15, penganalisis jangka lebih ramai ‘kembali’ kepada Umno

Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, keinginan untuk kestabilan selepas wabak akan mengetepikan sebarang keraguan orang ramai bagi menyokong kerajaan BN pimpinan Umno.

Seorang penganalisis politik berkata, kemenangan Umno dalam beberapa pilihan raya negeri baru-baru mempengaruhi ahli politik untuk pulang ke pangkuan parti itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganalisis menjangkakan lebih ramai ahli politik yang berpaling tadah daripada Umno sejak empat tahun lalu akan kembali ke pangkuan parti itu apabila bahang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) semakin terasa.

Mereka berkata, langkah ADUN Sinduman, Yusof Yacob menyertai semula Umno adalah petunjuk kepada keadaan yang bakal berlaku.

Yusof meninggalkan Umno untuk menyertai Warisan sebelum PRU14. Beliau yang juga ketua penerangan Warisan, meninggalkan parti itu pada Oktober lalu untuk menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan gabungan pemerintah Sabah.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, kebanyakan ahli politik yang kembali ke pangkuan Umno itu datangnya daripada Bersatu dan Warisan, yang menurutnya, diwujudkan bagi mencapai tujuan golongan yang “mengambil pendirian anti-Umno”.

Tambahnya, parti berkenaan tiada wawasan jangka panjang yang jelas, malah masih bergelut untuk meraih sokongan akar umbi.

Fauzi berkata, keinginan untuk mewujudkan kestabilan selepas wabak Covid-19 akan mengetepikan sebarang keraguan orang ramai untuk mengundi kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno.

“Ahli Parlimen yang kembali ini tidak begitu naif sehingga tidak mampu menilai sentimen rakyat,” katanya selain menambah bahawa pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor adalah petunjuk awal keadaan yang mungkin berlaku di peringkat persekutuan kelak.

BN memenangi 21 daripada 28 kerusi dalam PRN Melaka dan 40 daripada 56 kerusi dalam PRN Johor.

“Tindakan mereka tidak semestinya berpunca secara langsung daripada keputusan PRN, namun PRN itu pasti menyingkirkan sebarang kesangsian mereka untuk menyertai Umno semula,” kata Fauzi.

Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, kemenangan yang dikecapi Umno kebelakangan ini mempengaruhi ahli politik untuk meninggalkan parti masing-masing dan kembali ke pangkuan Umno.

Menurutnya, tidak mengejutkan apabila ahli politik dari parti lain memilih Umno yang sudah lama bertapak di Sabah.

Mengulas keputusan Yusof kembali ke Umno, beliau berkata, keputusan Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung menyebabkan ia hilang fokus di Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.