Menteri setuju Sarawak eksport ayam

Menteri setuju Sarawak eksport ayam

Pada 23 Mei lalu menteri tempatan Sarawak mendedahkan negeri itu tidak menghadapi masalah bekalan ayam susulan pengeluaran sara dirinya melebihi 100%.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata cadangan mengeksport bekalan ayam dari Sarawak sesuatu yang baik dan perlu dilakukan khususnya bagi meningkatkan industri penternakan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sarawak digalakkan mengeksport ayam berikutan lebihan bekalan ternakan itu di negeri berkenaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.

Katanya, bagaimanapun bekalan tempatan harus dijamin sentiasa mencukupi kerana keutamaan harus diberikan kepada pengguna tempatan.

Beliau berkata, cadangan mengeksport bekalan ayam dari Sarawak sesuatu yang baik dan perlu dilakukan khususnya bagi meningkatkan industri penternakan.

“Kalau benar (bekalan lebih daripada cukup) dan kalau boleh (kuantiti) untuk eksport, kenapa tidak?

“Cuma janganlah (jika) kita dalam situasi bekalan dalaman tidak cukup, tetapi mengeksport pula… itu kita larang. Kalau ada lebihan bekalan (ayam) untuk dieksport, kenapa tidak dilakukan kerana ia baik untuk industri,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, 23 Mei lalu, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah negeri Dr Abdul Rahman Ismail, dipetik berkata, Sarawak tidak menghadapi masalah bekalan ayam susulan pengeluaran sara dirinya sudah melebihi 100%.

Malah katanya, kerajaan Sarawak kini berusaha membantu penternak untuk terus mengembangkan lagi industri penternakan ayam bagi membolehkan Sarawak mengeksport ayam.

Untuk rekod, ketika ini Sarawak mengeksport daging babi dan ikan tilapia ke Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.