
Satu kumpulan mendakwa mewakili lebih 5,000 “penyokong tegar” Pakatan Harapan (PH) dalam kalangan belia India, di Sungai Siput, menuduh khidmat Kesavan amat mengecewakan di kawasan diwakilinya itu, sejak dipilih pada 2018.
Mereka mendakwa, Kesavan menutup pusat khidmat rakyat dan membiarkan rakyat di Sungai Siput hilang arah untuk mendapatkan bantuan.
Bagaimanapun, Kesavan memberitahu FMT: “Ini tidak benar. Saya tinggal di Sungai Siput, pusat khidmat sentiasa dibuka dan saya berada di sana setiap hari tanpa gagal.”
Katanya: “Pilihan raya yang semakin dekat, jadi ada orang akan melakukan perkara seperti itu demi kepentingan peribadi.”
Kumpulan tidak berpuas hati itu mendakwa, mereka hilang kepercayaan kepada PH dan mengambil keputusan memberikan sokongan penuh terhadap Vigneswaran sebagai Ahli Parlimen Sungai Siput seterusnya.
Kata kumpulan itu, beliau cukup bermurah hati membantu golongan memerlukan tanpa mengira fahaman politik.
Kesavan ketika mengulas lanjut, berkata seorang daripada mereka yang membuat kenyataan bersama, yang mendakwa dirinya ketua bahagian PKR, sudah disingkirkan daripada parti atas sebab disiplin, pada Jan.
Beliau turut mempersoalkan dakwaan mewakili 5,000 ahli.
“Perlu ada bukti. Siapa ahli ini? Hantar nama dan nombor kad pengenalan kepada parti,” katanya.
Ditanya bukti bahawa ahli yang dipersoalkan disingkirkan parti, Kesavan menghantar kepada FMT surat tunjuk sebab daripada PKR kepada ahli terbabit, pada 12 Jan, di mana dia dituduh menghina PKR dan presiden, dalam Facebook, pada Okt.
Katanya, ahli berkenaan gagal menjawab surat berkenaan.