SPRM cadang beberapa nama untuk dituduh, tiada makluman kes Mara Corp digugur

SPRM cadang beberapa nama untuk dituduh, tiada makluman kes Mara Corp digugur

Azam Baki berkata, SPRM sudah menyelesaikan tanggungjawab dalam siasatan kes itu.

Azam Baki berkata, tiada sebarang makluman diterima berhubung pengguguran tiga individu yang disiasat dalam skandal integriti Mara Corp.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mencadangkan beberapa nama kepada Jabatan Peguam Negara untuk dituduh dalam siasatan ke atas dakwaan salah guna kuasa dan salah urus Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corp).

Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki bagaimanapun berkata, tiada sebarang makluman diterima SPRM berhubung pengguguran tiga individu yang disiasat dalam skandal integriti Mara Corp.

“Kita sudah cadangkan nama untuk dituduh dan setakat ini kita tidak mempunyai makluman daripada Jabatan Peguam Negara berhubung kes yang tak dituduh.

“Jadi, saya tiada komen mengenai perkara itu (pengguguran tiga nama individu disiasat SPRM),” katanya menurut laporan Berita Harian.

Azam berkata, SPRM sudah menyelesaikan tanggungjawab dalam siasatan kes itu.

“Tugas kami sudah siasat dan keterangan yang ada sudah memadai untuk SPRM mencadangkan pertuduhan beberapa pihak,” katanya.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan Jabatan Peguam Negara didakwa tidak meneruskan pendakwaan bagi kes Mara Corp, walaupun kertas siasatan lengkap sudah diserahkan SPRM sejak awal April lalu.

Pada 1 Mac lalu, Azam dilaporkan berkata, siasatan berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan salah urus Mara Corp selesai sepenuhnya dan mereka dalam peringkat perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara untuk langkah seterusnya.

Ia selepas SPRM memanggil lima pegawai Mara yang dikaitkan dengan dakwaan integriti dan salah guna kuasa membabitkan Mara Corp.

Lima individu itu antara 17 orang yang dikenal pasti bagi membantu siasatan kes berkenaan. Kelima-limanya kemudian membuat laporan polis untuk menafikan pembabitan mereka dalam isu berkenaan.

Pada 31 Mac pula, Azam memaklumkan pihaknya yakin tiga pegawai Mara Corp yang disiasat itu bakal diheret ke mahkamah dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.