PAS tak tepati janji, MN sudah sampai ‘surah akhir’, kata Tok Mat

PAS tak tepati janji, MN sudah sampai ‘surah akhir’, kata Tok Mat

Timbalan presiden Umno itu berkata, kerjasama PAS dengan Umno dalam MN tergelincir disebabkan parti itu menyertai PN.

Mohamad Hasan berkata, jika PAS mahu kembali bersama Umno dalam Muafakat Nasional, ia perlu berbuat demikian tanpa Perikatan Nasional.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, tindakan PAS tidak menepati janji dan bersikap konsisten adalah punca kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) “tergelincir” kerana parti itu tetap memilih untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Katanya, Umno turut dipersalahkan sehingga dianggap mengkhianati MN sedangkan PAS menolak kerjasama dengan Umno dalam pilihan raya ne­geri (PRN) Melaka tahun lalu selepas diminta menggunakan lambang sendiri, bukannya PN.

“Sebenarnya kita tidak pernah pun tinggalkan mereka. Mereka yang tinggalkan MN. Mereka yang sekejap begitu, sekejap begini.

“Di Melaka, kita ajak bersama dalam satu pasukan, dengan syarat mereka guna lambang sendiri. Tetapi mereka tak nak, mereka nak dengan PN. Tak apalah, kita tak ada masalah.

“Tetapi kemudiannya mereka pula kata kita yang khianat. Itu yang pelik. Umno tak pernah khianati MN. Itu sebabnya bila orang tanya saya pasal MN, saya kata MN ini sudah sampai kepada ‘surah akhir’ kita. Cuma sama ada nak khatam sahaja atau tidak sahaja.

“Kalau nak khatam, khatamlah. Kalau tidak, kita sambung baca lagi,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, parti perlu tegas dan bersuara dalam memperbetulkan persepsi rakyat yang memandang serong Umno sebagai pengkhianat selepas tiada lagi kerjasama dengan PAS dalam MN..

“Semua itu adalah perkara yang boleh dirundingkan. Tak timbul soal Umno meninggalkan atau mengkhianati MN. Umno tetap Umno.

“Kami tak pernah kata kami dah tinggalkan MN. Yang Umno kata, kalau hendak kembali ke dalam MN, baliklah sorang-sorang. Janganlah bawa bini muda balik ke rumah bini tua pula. Kita tak terima bini muda kan?”

Beliau berharap PAS lebih bersungguh-sungguh, serius dan konsisten dalam pendirian mereka, selain mengotakan janji.

“Tinggalkan PN, sebab dah janji kita akan bersama dengan MN seperti dalam beberapa mesyuarat MN. Tapi, seperti yang semua dapat lihat, akhirnya PAS menyertai PN. Kita tak marah pun. Itu hak dan pilihan mereka. Cuma itulah penyebabnya MN ini tergelincir sebab PAS menyertai PN.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.