
Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan dalam operasi khas dilaksanakan polis Johor dan Bukit Aman, termasuk merampas 95,000 liter diesel berjumlah RM522,500, dalam serbuan di sebuah stor, di Kawasan Perindustrian Desa Plentong, Masai, pada 11 malam, semalam.
Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat, berkata dalam operasi itu seramai 28 individu termasuk seorang lelaki warga asing berusia antara 22 hingga 46 tahun ditahan.
“Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan minyak diesel yang dipercayai terbesar setakat ini hasil serbuan khas yang dijalankan itu.
“Hasil operasi, pihak kita berjaya merampas 95,000 liter bernilai RM522,500 minyak diesel selain 27 buah lori serta wang tunai sebanyak RM12,507 dan nilai keseluruhan rampasan adalah RM3.01 juta,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Kamarul berkata, hasil risikan juga mendapati sindiket itu baharu sahaja beroperasi sejak sebulan lalu.
Katanya, modus operandi digunakan sindiket adalah mengubah suai pelbagai jenis lori termasuk lori pasir 10 tan.
Sindiket memasang tangki simpanan yang ditutup dengan kanvas bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Tangki ini diubah suai, mereka pasang dan letak di bahagian belakang lori. Mereka juga licik pasang pam dekat tangki minyak lori, minyak mereka isi masuk tangki biasa. Dari tangki lori itu, mereka pasang paip untuk disalurkan ke dalam tangki,” katanya.
Kamarul berkata, sindiket itu membeli minyak diesel bersubsidi pada harga RM2.05 seliter di stesen minyak, di sekitar Johor Bahru.
“Mereka kemudiannya membawa ke stor simpanan untuk dikumpulkan sebelum diseludup ke negara jiran. Sindiket ini disyaki menggunakan laluan laut untuk menyeludup diesel berkenaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.