Kekerapan LRT laluan Kelana Jaya dijangka pulih Ogos, kata menteri

Kekerapan LRT laluan Kelana Jaya dijangka pulih Ogos, kata menteri

Wee Ka Siong berkata demikian sebagai menjawab rungutan pengguna di laluan itu yang kecewa berhubung kekerapan tren.

LRT laluan Kelana Jaya akan kembali pulih dengan masa kekerapannya dikurangkan daripada lapan minit kepada sekurang-kurangnya lima minit, pada Ogos, dan tiga minit, pada Nov, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.
KUALA LUMPUR:
Kekerapan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya dijangka bertambah baik pada Ogos selepas lebih banyak gerabak diperbaiki, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Beliau berkata demikian bagi menjawab rungutan penumpang perkhidmatan tren laluan itu yang kecewa susulan kekerapan gangguan LRT di laluan berkenaan.

“Kekerapan pada masa ini, iaitu sehingga lapan minit antara tren seterusnya akan ditambah baik kepada sekurang-kurangnya lima minit pada Ogos,” katanya pada sidang media sempena perasmian MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu.

Seterusnya beliau berkata, kekerapan perkhidmatan dijangka akan bertambah baik dengan sasaran kekerapan tiga minit, pada Nov.

Pada 25 Mei lalu, Wee berkata, Prasarana selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan awam negara mengakui prestasi perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya agak menurun ketika ini, selepas berlaku beberapa insiden menyebabkan gangguan dalam perkhidmatannya antara April dan Mei lalu.

Beliau berkata, gangguan terhadap sistem kendalian pemanduan automatik tren (ATC) khusus pada tren 4 gerabak jenis 818 menyebabkan brek kecemasan diaktifkan, sekali gus menyaksikan sebanyak 38 insiden brek kecemasan berlaku antara 1 Apr hingga 5 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Wee berkata, gangguan terhadap kekerapan perkhidmatan tren itu juga berikutan beberapa set tren kini dalam penyelenggaraan.

“Demi keselamatan penumpang, kami mengambil langkah ini untuk mengelak kejadian lebih buruk pada masa depan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.