1.6 juta penjawat awam terima manfaat program myezycover.com

1.6 juta penjawat awam terima manfaat program myezycover.com

Penjawat awam tetap dan bertaraf kontrak layak memohon skim pembiayaan insurans itu dengan syarat, nisbah hutang tidak melebihi 60% daripada jumlah pendapatan bulanan.

Ismail Sabri Yaakob berkata program pembiayaan insurans kenderaan itu menawarkan pelbagai manfaat untuk melindungi kenderaan daripada kemalangan serta bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kira-kira 1.6 juta penjawat awam termasuk yang bertaraf kontrak akan menerima manfaat daripada program pembiayaan insurans kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan perasmian berkata program itu berkonsep patuh syariah Qardhul Hasan iaitu pinjaman tidak melibatkan faedah atau unsur riba bagi pembelian insurans kenderaan dan cukai jalan.

Beliau berkata penjawat awam tetap dan bertaraf kontrak layak memohon skim pembiayaan insurans itu dengan syarat, nisbah hutang tidak melebihi 60% daripada jumlah pendapatan bulanan.

Katanya, ia menawarkan pelbagai manfaat untuk melindungi kenderaan daripada kemalangan serta bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.

“Melalui myezycover.com, penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan di hujung jari dengan mudah, jimat dan pantas. Nota Perlindungan Insurans diperoleh hanya dalam tempoh lima minit,” katanya, menurut laporan Bernama.

Program pembiayaan insurans kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com itu telah diumumkan Ismail pada 1 Mei sempena sambutan Hari Pekerja 2022 bertemakan ‘Pekerja Tonggak Keluarga Malaysia Dalam Pemulihan Negara’.

Ismail berkata ia bercirikan kemudahan pembaharuan polisi insurans kenderaan dan cukai jalan melalui pembiayaan tanpa faedah atau 0% dengan bayaran balik pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan boleh dibuat melalui Skim Potongan Gaji Angkasa (SPGA).

“Inisiatif ini tidak berorientasikan komersial semata-mata. Apa yang paling penting, ia dapat membantu merealisasi konsep Keluarga Malaysia berasaskan indeks kebahagiaan, yang menjadi tanda aras komitmen dan kesungguhan kerajaan.

“Pada masa yang sama, usaha ini dapat membantu pegawai kerajaan mengurangkan tekanan kewangan, setiap kali mereka memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan,” katanya.

Program pembiayaan insurans kenderaan myezycover.com itu merupakan kerjasama strategik antara agensi awam, Kementerian Sumber Manusia dan swasta, yang dimeterai oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) dan A Tech Insure Sdn Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.