Syak dana masjid diseleweng, lapor Jaim bukan hantar surat layang ke SPRM, kata pengarah

Syak dana masjid diseleweng, lapor Jaim bukan hantar surat layang ke SPRM, kata pengarah

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka Che Sukri Che Mat berkata pihaknya mempunyai pegawai integriti yang akan mengambil tindakan sekiranya mengesan berlaku unsur penyelewengan atau rasuah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) Che Sukri Che Mat berkata perkara itu boleh diselesaikan di peringkat jabatan kerana tindakan segera akan diambil mengikut undang-undang. (Gambar Facebook)
MELAKA:
Individu atau pihak tidak berpuas hati dengan pengurusan masjid dan surau, termasuk mengesyaki berlaku penyelewengan dana institusi itu boleh menyalurkan aduan atau maklumat berkenaan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) untuk tindakan lanjut.

Pengarah Jaim, Che Sukri Che Mat, berkata perkara itu boleh diselesaikan di peringkat jabatan kerana tindakan segera akan diambil mengikut undang-undang ditetapkan, tanpa perlu melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi medium surat layang.

“Jaim mengambil maklum SPRM menerima pelbagai aduan menerusi surat layang berhubung dakwaan kebanyakannya tidak puas hati dengan pengurusan masjid dan pengurusan menggunakan duit masjid sewenang-wenangnya, tetapi di Melaka setakat ini tiada berlaku penyelewengan dana.

“Jaim sentiasa memantau pengurusan masjid di negeri ini dan kami ada pegawai integriti yang akan mengambil tindakan sekiranya mengesan berlaku unsur penyelewengan atau rasuah,” katanya kepada pemberita selepas Program Komuniti Masjid Memerangi Rasuah di Surau Al-Mughni di Kampung Tersusun, Bukit Larang.

Program itu turut dihadiri Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Razim Mohd Noor antara panel sesi dialog bertajuk “Isu-Isu Ketirisan Dalam Pengurusan Dana Masjid dan Surau”.

Che Sukri berkata, selain itu, jawatankuasa masjid dan surau di negeri itu diminta tidak menyimpan dana atau sumbangan orang ramai diperoleh, sebaliknya membelanjakan wang itu untuk tujuan pembangunan, pengurusan dan pengimarahan institusi tersebut.

Beliau berkata, ini kerana pihaknya mengesan terdapat beberapa masjid yang tidak menggunakan dana diperoleh daripada orang ramai, sebaliknya menyimpan wang tersebut di dalam akaun masjid sehingga ada antara simpanan tersebut mencecah ratusan ribu ringgit.

“Jaim telah membuat teguran kepada masjid tersebut supaya menggunakan tabung berkenaan untuk pengurusan masjid contohnya menambah baik keindahan masjid dan membaiki tandas yang bocor untuk keselesaan jemaah.

“Jangan simpan dana itu kerana ia disumbangkan orang ramai untuk dibelanjakan ke arah pengimarahan masjid,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.