
Zahid, 69, berkata Lee yang merupakan pengasas dan pengerusi Country Heights Holdings Berhad menawarkan penjualan banglo berkenaan bawah harga pasaran kerana menghadapi masalah untuk membayar cukai pendapatannya.
“Tawaran ini (harga) daripada Tan Sri Lee Kim Yew iaitu pemilik Country Heights. Dia sangat memerlukan wang, sebab itu dia menjualnya di bawah harga pasaran.
“Dia menghadapi masalah untuk membayar cukai pendapatan, sebab itu masa yang diberikan kepada kami sangat singkat dan harga diskaun diberikan kepada Yayasan Akalbudi (YAB),” katanya.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata demikian semasa dirujuk Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong berhubung buku lejar pemegang amanah YAB iaitu Tetuan Lewis & Co yang merekodkan firma guaman itu memasukkan RM2 juta ke dalam akaun simpanan tetap pada 30 Nov 2016 dan RM5 juta pada 9 Dis tahun sama.
Menurut Zahid, Lewis & Co tidak menunggu akaun simpanan tetap itu mencapai tempoh matang sama ada enam bulan atau setahun sebelum mengeluarkan wang RM5.9 juta kerana Lee memberi tempoh masa yang singkat untuk membuat keputusan dalam pembelian banglo berkenaan.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak bersetuju dengan cadangan Harris Ong bahawa pembelian banglo berkenaan bukan atas dasar kebajikan tetapi untuk menolong pemiliknya semata-mata.
Sebelum ini, Lee yang merupakan saksi pendakwaan ke-57 memberitahu mahkamah bahawa adik Zahid, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi membeli dua banglo berkenaan menerusi cek Lewis & Co.
Menurut Lee, cek tersebut untuk pembayaran penyelesaian jualan bagi dua buah banglo setingkat milik syarikatnya itu yang dijual kepada Yayasan Al-Falah yang Mohamad Nasaee adalah pengerusi lembaga pemegang amanah yayasan tersebut.
Sementara itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Zahid memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju untuk melawat dua banglo berkenaan seperti yang dipersetujui oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah semalam, pada 1 Ogos ini.
“Saya juga menjemput Yang Arif ke Bagan Datuk untuk melawat Masjid Tuminah Hamidi bagi memberikan gambaran yang jelas keadaan masjid berkenaan,” kata Hisyam.
Sequerah kemudian berkata keadaan masjid berkenaan boleh ditunjukkan di mahkamah menerusi gambar atau video kerana perjalanan ke Bagan Datuk mengambil masa.
Semalam, Sequerah bersetuju dengan permintaan pihak pembelaan untuk melawat banglo berkenaan demi keadilan dalam perbicaraan kes itu.
Pada 24 Jan lepas, mahkamah memerintahkan Zahid membela diri atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.
Perbicaraan di hadapan Sequerah bersambung 5 Ogos ini.