PKR terima keputusan rasmi pemilihan, di sebalik aduan sedang diteliti

PKR terima keputusan rasmi pemilihan, di sebalik aduan sedang diteliti

PKR sebulat suara menerima keputusan rasmi pemilihan 2022 yang diumumkan Jawatankuasa Pemilihan Parti.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata sebahagian daripada 1,800 aduan yang diterima masih dalam penelitian Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR sebulat suara menerima keputusan rasmi pemilihan 2022 parti itu, meskipun masih ada aduan yang belum selesai.

Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil berkata MPP membuat keputusan itu dalam mesyuarat khas malam tadi, selepas meneliti laporan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), firma audit forensik, dan pembekal perkhidmatan yang membangunkan aplikasi pemilihan, ADIL.

“MPP mengambil maklum sebahagian daripada 1,800 aduan yang diterima masih dalam penelitian JPP,” katanya di Facebook, dengan jaminan JPP akan menyelesaikannya dan memberikan maklum balas bertulis kepada pengadu.

Beliau berkata, sistem ADIL yang dibangunkan adalah sistem dengan integriti utuh, namun wujud beberapa kelemahan pada peringkat pelaksanaan yang diperakui firma audit forensik.

Menurutnya, MPP memutuskan kongres PKR ke-16 melibatkan Wanita dan Pemuda serta kongres nasional diteruskan pada 15, 16 dan 17 Julai di IDEAL Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

“Semua perwakilan termasuk dari Sabah dan Sarawak akan hadir secara fizikal. Kongres ini akan menyaksikan saf kepimpinan baharu mengambil alih tampuk kepimpinan parti, seterusnya menggariskan dasar serta hala tuju parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15,” katanya.

Sebelum ini, tarikh asal pengumuman keputusan rasmi Pemilihan PKR 2022 ditetapkan pada 25 dan 26 Jun ketika berlangsungnya Kongres Nasional PKR 2022.

Bagaimanapun, tarikh itu diubah untuk memberi ruang dan masa secukupnya kepada JPP dan firma audit forensik menyelesaikan aduan yang diterima dan tidak sama sekali bertujuan melengahkan pengumuman keputusan pemilihan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.