
PETALING JAYA: Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok menggesa Putrajaya berusaha menjadikan perkhidmatan awam lebih seimbang dari segi kaum bagi mencerminkan semangat slogan “Keluarga Malaysia” Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, perkhidmatan awam didominasi oleh orang Melayu sejak pengenalan Dasar Ekonomi Baharu pada 1970, dengan beberapa orang bukan Melayu memohon untuk menyertai perkhidmatan awam.
Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, struktur gaji yang rendah dan kurangnya peluang untuk kemajuan kerjaya antara faktor utama menghalang bukan Bumiputera menyertai perkhidmatan awam.
“Pengambilan dan kemajuan kerjaya lebih seimbang, secara beransur-ansur akan meningkatkan bilangan bukan Melayu memohon. Dasar berasaskan kaum dalam pengambilan dan kenaikan pangkat penjawat awam menyebabkan ramai bakat enggan memohon menyertai perkhidmatan awam.
“Sebuah perkhidmatan awam mesti benar-benar mewakili semua kaum kerana ia akan lebih responsif dari segi keperluan dan kehendak mereka, kerana penjawat awam penting mempengaruhi dasar awam dan pelaksanaannya,” katanya dalam kenyataan.
Bekas menteri itu berkata, bangsa tidak harus menjadi faktor penentu dalam mengambil atau menaikkan pangkat penjawat awam.
Beliau berkata, perlu ada kemahuan politik daripada kerajaan untuk menarik lebih ramai bukan Bumiputera untuk menyertai perkhidmatan awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad memberitahu Dewan Rakyat kira-kira 90% daripada 1.2 juta penjawat awam terdiri daripada Bumiputera.
Katanya, kerajaan tidak mengenakan sebarang kuota untuk pengambilan berdasarkan kaum atau etnik.
Latiff berkata daripada jumlah itu, 987,333 terdiri daripada orang Melayu; 73,190 Cina; 47,751 India; 60,084 Bumiputera Sarawak; 59,978 Bumiputera Sabah; 2,417 Orang Asli; dan 8,698 lain-lain.
Bagi jawatan tertinggi atas kategori Gred 56 pula, 3,300 adalah orang Melayu; 386 Cina; 240 India; 74 Bumiputera Sabah; 53 Bumiputera Sarawak; tiga Orang Asli; dan 42 lain-lain.
Beliau menegaskan pengambilan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) adalah berdasarkan merit dan kecekapan.