Pindaan akta hutan mampu lindungi kawasan tadahan air, kata Tuan Ibrahim

Pindaan akta hutan mampu lindungi kawasan tadahan air, kata Tuan Ibrahim

Menteri alam sekitar dan air berkata, pindaan itu dapat melindungi kawasan tahan air sebelum sesuatu aktiviti membabitkan kawasan hutan diluluskan bagi tujuan pembangunan.

Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media selepas melancarkan majlis pra pelancaran Persidangan dan Pameran Antarabangsa Greentech dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2022 di ibu negara.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Alam Sekitar dan Air mempertahankan pindaan Akta Perhutanan Negara 2022 yang diluluskan Dewan Rakyat Isnin lalu dengan undian sebulat suara selepas dibahaskan oleh 13 Ahli Parlimen.

Menterinya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pindaan di bawah seliaan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli itu antara lain ialah dapat melindungi kawasan tahan air sebelum sesuatu aktiviti membabitkan kawasan hutan diluluskan bagi tujuan pembangunan.

“Kita menyambut baik pindaan Akta Perhutanan Negara termasuklah apabila ia melibatkan perkara termasuk bila nak menggazetkan zon tadahan air dan sebagainya. Ia suatu tindakan yang sangat baik,” katanya pada sidang media selepas melancarkan majlis Prapelancaran Persidangan dan Pameran Antarabangsa Greentech dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2022 di ibu negara hari ini.

Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan RUU Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 bertujuan memantapkan penguatkuasaan hutan dalam membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran dan meningkatkan pelaksanaan aktiviti pemeliharaan serta pemuliharaan hutan.

Dengan akta yang telah dipinda itu, ia memerlukan kerajaan negeri mengadakan pendengaran awam sebelum melaksanakan sesuatu kawasan hutan simpan kekal, selain boleh menggantikannya dengan hutan yang sama atau lebih luas.

Sebelum ini, bekas menteri, Yeo Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Bakri dipetik sebagai berkata, pindaan Akta Perhutanan Negara untuk melindungi hutan dengan lebih baik mungkin akhirnya membahayakan kawasan Central Forest Spine (CFS) dan biodiversiti di hutan lain.

Menurutnya, kemungkinan itu boleh berlaku kerana fasal yang meminta kerajaan negeri menggantikan hutan simpan kekal boleh dijadikan alasan untuk menyahwartakan CFS.

Yeo berkata, walaupun pindaan terbabit kelihatan baik di atas kertas, menggantikan hutan simpan kekal boleh mengakibatkan pemecahan hutan yang akan memberi kesan negatif kepada ekologi.

CFS ialah rangkaian koridor ekologi di Semenanjung Malaysia yang bertujuan untuk pemuliharaan, dan membolehkan pelbagai hidupan liar berpindah dari satu hutan ke hutan yang lain.

Ia terdiri daripada empat kompleks hutan yang merangkumi lapan negeri, dan merupakan sumber air untuk 22.3 juta rakyat Malaysia, serta menempatkan lebih 1,000 spesies hidupan liar – termasuk harimau Malaya yang terancam, beruang matahari Malaya, tapir Malaya dan gajah Asia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.