Pejuang sedia kerjasama dengan NGO hadapi PRU15

Pejuang sedia kerjasama dengan NGO hadapi PRU15

Dr Mahathir Mohamad berkata, Pejuang juga sedia menjalin kerjasama dengan parti lain yang tidak terlibat rasuah untuk menghadapi PRU15.

Dr Mahathir Mohamad membidas dakwaan ramai pihak yang beranggapan Pejuang tidak mungkin memenangi PRU15.
PETALING JAYA:
Pejuang tidak menolak kemungkinan mewujudkan gabungan baharu dengan pihak yang diyakini bersih daripada sebarang salah laku kerana parti itu tidak boleh menerima gabungan politik sedia ada.

Pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad berkata, Pejuang sedia menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak terlibat dalam politik dan parti lain tidak terlibat rasuah untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Sekarang ada tiga gabungan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), namun Pejuang tidak boleh sertai mereka.

“BN sebab ramai penyangak, PH pula orang Melayu tak suka DAP dan kalau kita bersama mereka, kita akan hilang sokongan orang Melayu,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, kedudukan PN pula tidak kukuh dan tidak mampu berdiri sendiri.

“PN perlu bersama PAS dan BN sebab tak cukup orang. Mereka bercakap sajalah.

“Asal Bersatu berpecah dua, sebahagian ikut saya, yang lain ikut Muhyiddin Yassin, pasal dapat jadi menteri gaji besar. Itulah sebabnya bukan minat nak berkhidmat untuk negara.”

Bekas perdana menteri itu berkata, membidas dakwaan ramai pihak yang beranggapan Pejuang tidak mungkin memenangi PRU15.

“Ramai anggap Pejuang ini hanya parti kecil, tetapi penyokong kita ramai. Bila sampai masanya, kita akan bertanding bersama rakan-rakan kita.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.