Selain belot, isu lompat parti turut babit rasuah, dakwa Anwar

Selain belot, isu lompat parti turut babit rasuah, dakwa Anwar

Ketua pembangkang itu mendakwa Ahli Parlimen yang melompat parti dijanjikan habuan jutaan ringgit dan jawatan dalam kerajaan.

Anwar Ibrahim berang kerana sehingga hari ini tiada siasatan dijalankan SPRM melibatkan isu lompat parti yang dikaitkan dengan rasuah, sogokan serta penipuan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Selain pembelotan kepada parti, Anwar Ibrahim berkata, isu lompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen turut membabitkan pemberian rasuah, sogokan serta penipuan.

Ketua pembangkang itu berkata, Ahli Parlimen yang melompat parti dijanjikan habuan jutaan ringgit dan jawatan dalam kerajaan.

Beliau berang kerana sehingga hari ini tiada siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan isu lompat parti yang dikaitkan dengan rasuah, sogokan serta penipuan

“Perkara pembelotan ni bukan baharu. Soalnya bukan belot, khianat atau lompat parti saja, tetapi soal yang harus diketahui oleh perdana menteri dan diperhatikan badan-badan seperti SPRM kerana ia melibatkan rasuah, sogokan dan penipuan.

“Dengan pindaan ini, ia tidak menyelesaikan (masalah),” katanya di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pembangkang mahu pindaan ini digunakan untuk bertanya SPRM mengapa janji sogokan jawatan dan wang berjuta-juta ringgit dipadamkan dan tidak disiasat.

“Jadi, pindaan Perlembagaan ini memberikan gambaran ada sesuatu yang salah. Kalau tak, kenapa nak pinda Perlembagaan?” soalnya.

Anwar berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang dibentangkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Dianggarkan 55 Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan selama dua hari.

Anwar berkata, dalam Langkah Sheraton, banyak laporan dibuat, tetapi tiada siasatan dan kenyataan susulan daripada SPRM.

“Dan dakwaan ini bukannya satu, tetapi beberapa Ahli Parlimen (terlibat).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.