
Tertuduh, Afiq Yan Muhammad Farid Yan, 20, didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun itu di sebuah hotel di sini pada kira-kira 12.30 tengah malam, 16 Julai lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rozman menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 manakala peguam Mahajoth Singh memohon jaminan rendah atas alasan ibu bapa tertuduh bekerja biasa dan abangnya pula ingin melanjutkan pelajaran di universiti.
Hakim Norita Mohd Ardani membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tertuduh tidak mengganggu saksi kes.
Mahkamah kemudian menetapkan 9 Sept untuk sebutan semula kes.
Pada 20 Julai lepas, polis dilaporkan menahan enam lelaki berusia lingkungan 16 hingga 21 tahun yang disyaki merogol seorang pelajar perempuan selepas ibu mangsa membuat laporan polis.
Berdasarkan laporan polis, mangsa dijumpai ibunya dalam keadaan terbaring dan khayal di sebuah rumah di Panorama Lapangan Terbang.
Seorang remaja perempuan lain, yang juga rakan mangsa, turut ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai membawa suspek lelaki berjumpa mangsa.
Mahajoth ketika ditemui di luar mahkamah berkata, tertuduh dan enam lagi suspek yang ditahan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar esok, namun butiran tuduhan tidak dimaklumkan.