
Lim berkata, penafian polis terhadap dakwaan itu tidak meyakinkan dan beliau menggesa agar hakim semasa atau bekas hakim mengetuai inkuiri awam terhadap dakwaan dibuat oleh Meta itu, syarikat teknologi yang mengendalikan Facebook dan Instagram.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu turut menggesa polis menyatakan sama ada mereka akan bekerjasama dengan inkuiri awam seumpama itu terhadap dakwaan yang melibatkan mereka.
“Kita mesti memastikan bahawa zaman maklumat di Malaysia tidak merosot kepada zaman salah maklumat, di mana polis dan kerajaan mengambil bahagian dalam penyebaran maklumat salah.
“Ia akan menjadi penyalahgunaan amanah rakyat yang serius jika kerajaan atau salah satu jabatannya terlibat dalam kempen maklumat palsu seperti itu,” katanya dalam kenyataan.
Pada Jumaat, Meta berkata lebih 800 akaun Facebook dan Instagram, laman dan kumpulan berada dalam rangkaian “dalang troll”, dan telah menyiarkan meme untuk menyokong pakatan kerajaan semasa, menuduh pengkritiknya rasuah, mengkritik pembangkang, dan juga memuji polis.
Syarikat itu juga berkata, ia telah memadam semua akaun, laman dan kumpulan yang dikaitkan dengan polis kerana melanggar dasarnya terhadap “koordinasi perlakuan tidak sahih”.
“Perlakuan tidak sahih” merujuk kepada cubaan untuk memanipulasi perdebatan awam untuk matlamat strategik, di mana akaun palsu menjadi pusat operasi.
Polis telah menafikan dakwaan itu mengenai rangkaian akaun palsu dan berkata mereka sedang mengumpul maklumat penuh berhubung perkara itu.