LCS: Serlah amalan tadbir buruk dana awam, kata TI-M

LCS: Serlah amalan tadbir buruk dana awam, kata TI-M

Transparency International Malaysia berkata kegagalan atau kelewatan kerajaan bertindak membuat pendakwaan menunjukkan sikap tidak ikhlas melaksanakan reformasi institusi dan agenda basmi rasuah.

Transparency International Malaysia (TI-M) mahu kerajaan menyiasat kontraktor dan subkontraktor projek kapal tempur pesisir (LCS) di semua peringkat bagi memastikan tiada pemalsuan syarikat (dummy companies). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Isu projek kapal tempur pesisir (LCS) hanya menjadikan negara ini makin dikenali dengan amalan tadbir urus buruk kerana mengakibatkan kerugian berbilion ringgit dana awam, kata Transparency International Malaysia (TI-M).

Katanya, kegagalan atau kelewatan kerajaan bertindak untuk meneruskan pendakwaan menunjukkan sikap tidak ikhlas terhadap komitmen melaksanakan reformasi institusi dan agenda membasmi rasuah.

“Malangnya, Malaysia kini semakin dikenali dengan amalan tadbir urus buruk yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit dana awam daripada 1MDB kepada projek LCS ini.

“Tindakan sudah dan terus akan diambil ke atas isu 1MDB. Berapa lama lagi kah kita perlu menunggu untuk melihat pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan kerana satu lagi kegagalan?” katanya menurut Utusan Malaysia.

Minggu lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan kontrak projek LCS diberikan kepada syarikat BNS (Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd) secara rundingan terus dengan kerajaan membayar RM6.083 bilion, namun, tiada sebuah kapal LCS disiapkan.

Dalam pada itu, TI-M meminta kerajaan tidak membuat bayaran lanjut bagi projek pembinaan LCS sehingga penghantaran kapal yang memenuhi spesifikasi kontrak dibuat dan setimpal dengan jumlah RM6.083 bilion yang dibayar sehingga kini.

TI-M menggesa kerajaan menyiasat kontraktor dan subkontraktor LCS di semua peringkat bagi memastikan tiada pemalsuan syarikat (dummy companies) yang mendorong kepada penggelapan kontrak dengan nilai yang besar itu.

“Bagaimana projek LCS yang bermula pada 2013 boleh dibiarkan sehingga berdepan kegagalan perolehan dan tadbir urus yang besar untuk sekian lama, selain aspek pengawasan, tadbir urus yang baik dan akauntabiliti,” katanya.

TI-M juga menggesa tindakan tegas diambil jika didapati mana-mana penjawat awam cuai dalam melaksanakan tugas berkaitan projek, terutama tugas berkaitan pengawasan dan pelaporan.

“Prosiding jenayah perlu dimulakan terhadap sesiapa yang disyaki melakukan kesalahan di bawah pelbagai undang-undang di Malaysia, terutama suapan, rasuah dan salah guna jawatan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.