RUU kehadiran wajib pesalah mampu jimat kos, hukuman lebih adil

RUU kehadiran wajib pesalah mampu jimat kos, hukuman lebih adil

Kerajaan dapat menjimatkan RM30.6 juta selama tiga bulan sekiranya 6,800 pesalah melalui perintah wajib hadir iaitu pemenjaraan di luar tembok.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said, berkata pesalah tidak akan dipisahkan dengan ahli keluarga masing-masing, selain meneruskan ekonomi keluarga menerusi perintah wajib hadir sebagai inisiatif pemulihan dalam komuniti.
PETALING JAYA:
Rang Undang-Undang Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2021 dilihat mampu menjimatkan kos pengurusan penjara, selain mewujudkan hukuman lebih adil kepada pesalah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said, berkata rang undang-undang itu dapat mengurangkan implikasi kewangan secara total menerusi perintah wajib hadir, berbanding hukuman pemenjaraan dalam tembok penjara.

“Jika 6,800 pesalah kita tidak tempatkan di penjara selama tiga bulan, kita sudah jimat RM30.6 juta. Bayangkan (hukuman) penjara itu sehingga tiga tahun, tetapi kita jadikan perintah hadir wajib dari tiga bulan kita tingkatkan kepada 12 bulan, berapa banyak kos penjimatan dapat dilakukan pihak kerajaan.

“Bagi pihak pesalah pula, kaedah itu juga tidak pisahkan pesalah dengan ahli keluarga masing-masing, mereka juga boleh teruskan (membantu) ekonomi keluarga tanpa menimbulkan syak wasangka dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, di Dewan Negara hari ini.

Menurut Bernama, Ismail berkata, rang undang-undang itu juga akan mengambil kira maklum balas mangsa serta libat urus Jabatan Peguam Negara bagi memahami keadaan tertentu yang munasabah berdasarkan tingkah laku pesalah yang boleh dihukum penjara tidak melebihi tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, pindaan itu tidak terpakai kepada pesalah yang sudah mula menjalani hukuman penjara sebelum rang undang-undang tersebut diluluskan. Rang undang-undang itu kemudian diluluskan oleh Dewan Negara dengan lebih suara bersetuju.

Pada 19 Jul, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang itu bagi memperkasa inisiatif pemenjaraan di luar tembok penjara melalui program pemulihan dalam komuniti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.