
Bekas ketua pegawai turus E1M Cawangan Khas PDRM, Abdullah Abdul Hamid, berkata bagaimanapun adalah mustahil untuk menghalang mana-mana individu daripada berpegang dengan ideologi itu.
“Saya yakin tiada kemungkinan untuk perkara itu (kegiatan komunis) terjadi sebab ia dipantau Cawangan Khas PDRM. Itu memang kerja mereka.
“Tetapi mustahak untuk generasi sekarang faham bahawa ideologi tidak boleh dihalang, sesiapa sahaja boleh membaca bahan berkenaan komunisme, asalkan jangan ‘profess’, ajar, pengaruhi orang lain atau angkat senjata menentang kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjadi panel dalam program Bicara Perwira anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama PDRM bertajuk Pengorbanan Polis Menentang Pengganas Komunis di Maktab PDRM.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Razarudin Husain semasa berucap di program itu berkata, perubahan landskap ekonomi dunia dan juga perkembangan teknologi menuntut PDRM memperkukuhkan jaringan keselamatan negara mengikut situasi semasa.
Menurutnya, selain jenayah konvensional, PDRM juga berhadapan dengan cabaran baru jenayah transnasional seperti pengubahan wang haram, jenayah siber, penyeludupan manusia, pencerobohan pendatang asing tanpa izin, dadah dan hidupan liar yang semakin mendapat perhatian masyarakat.
“Pada masa sama, pengalaman mengendalikan ancaman luar jangka membabitkan krisis kesihatan pastinya menjadi pedoman terbaik PDRM untuk kekal relevan dalam memberikan perkhidmatan terbaik selaku agensi penguatkuasa undang-undang tertua di negara ini,” katanya.