
“Kami berusaha untuk mengetahui sumber dan data di sebalik dakwaannya,” kata Presiden TI-M Muhammad Mohan, sambil menambah bahawa mereka yang membuat kenyataan mengelirukan seperti itu harus bertanggungjawab di sisi undang-undang.
Muhammad berkata, pegawai yang dilantik dan semua rakyat harus mengelak daripada membuat kenyataan umum dan “mengamalkan pendekatan berasaskan bukti ke arah memahami dan memerangi rasuah”.
Hadi dipetik sebagai berkata pada konvensyen Sabtu lalu, bahawa ia telah sampai ke tahap bahawa “orang-orang ini” (bukan Islam dan bukan Bumiputera) akhirnya mengawal ekonomi negara dan menggunakan wang mereka untuk mencemarkan politik, pentadbiran dan kehakiman.
Utusan Malaysia juga memetik beliau menyalahkan sikap tidak ambil peduli dalam kalangan pengundi Melayu menyebabkan bukan Melayu dan “liberal” mengambil alih kuasa politik negara pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
Beliau berkata, sudah menjadi tanggungjawab PAS untuk meningkatkan kesedaran orang Melayu tentang kepentingan mengambil bahagian dalam politik negara.
Dalam kenyataan, Muhammad mengecam Hadi kerana mempunyai pandangan sempit tentang rasuah.
“Rasuah tidak mengenal sesiapa dan ia menjejaskan kita semua,” katanya.
Katanya, komen sebegitu yang dibuat dalam demokrasi berbilang kaum, etnik dan agama adalah “memalukan, perkauman, fitnah dan berpotensi menghasut”.
“Mereka berpandangan sempit tentang rasuah dan menimbulkan perasaan yang bertentangan langsung dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ oleh perdana menteri,” katanya.
Beliau berkata, dalam bulan Merdeka ini, amat sedih dan memalukan apabila mendengar komen tidak berasas dan provokasi mengenai pembasmian rasuah.