BN boleh bentuk kerajaan jika menang 16 kerusi Parlimen Perak, kata Tok Mat

BN boleh bentuk kerajaan jika menang 16 kerusi Parlimen Perak, kata Tok Mat

Timbalan pengerusi BN berkata gabungan itu menyasarkan menang 36 kerusi DUN bagi meraih majoriti selesa.

Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata menteri besar Perak diberi ‘tugas berat’ untuk membantu gabungan itu membentuk kerajaan persekutuan berikutnya. (Gambar Bernama)
IPOH:
Barisan Nasional (BN) boleh menubuhkan kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), jika memenangi 16 kerusi Parlimen di Perak, kata Timbalan Pengerusinya, Mohamad Hasan.

“Kami sudah buat pengiraan, BN boleh bentuk kerajaan selepas PRU15 jika kita menang kerusi ini,” katanya menurut Malay Mail.

Mohamad lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, 11 daripada 16 kerusi itu kini disandang parti komponen BN.

Katanya, “tugas berat” untuk mempertahankan 11 kerusi itu sudah diberikan kepada Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad dan pasukannya.

Beliau berkata, BN turut menyasarkan untuk memenangi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, termasuk 27 kerusi yang kini disandang wakil Umno, dan menubuhkan kerajaan negeri.

“Kami perlu mempertahankan 27 kerusi ini dan menang sembilan lagi. Jika kami menang semuanya, kami akan mempunyai majoriti stabil di DUN.”

Terdahulu, ketika melancarkan jentera pilihan raya BN Perak di sebuah hotel di Ipoh, Mohamad menggesa ahli BN mengutamakan kemenangan dalam PRU15 dengan mengetepikan perselisihan faham serta kepentingan peribadi.

Katanya, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sedang menunggu isyarat daripada parti komponen BN bagi memutuskan sama ada mereka sudah bersedia untuk PRU15 kerana “tiada gunanya” gabungan itu menghadapi pilihan raya, melainkan ia sudah bersedia.

“Menang adalah satu-satunya keutamaan kami. Kami tiada pilihan lain kecuali untuk menang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.