Jangan pandai berkokok, tapi ekor penuh najis, Idris beritahu Guan Eng

Jangan pandai berkokok, tapi ekor penuh najis, Idris beritahu Guan Eng

Menteri agama itu berkata, ada banyak lagi tugas yang perlu dilakukan berbanding melaga-lagakan isu perkauman yang sering dikompangkan pihak tidak bertanggungjawab.

Idris Ahmad menyifatkan dakwaan Lim Guan Eng bahawa beliau memalukan mangsa serangan seksual beragama Islam yang mendedahkan kisah mereka kepada umum sebagai fitnah berat.
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad tampil menyangkal dakwaan Lim Guan Eng bahawa beliau tidak cekap dalam menjalankan tugas, dengan mendakwa pengerusi DAP itu “sengaja memercikkan api perkauman”.

Katanya, dakwaan Lim bahawa beliau memalukan mangsa serangan seksual beragama Islam yang mendedahkan kisah mereka kepada umum “jauh tersasar”.

“Saya kira ianya fitnah yang berat mengatakan saya memalukan individu yang dimaksudkan ketika saya mengambil pertimbangan dan neraca agama dalam menilai isu yang berlaku, yang secara terperinci saya nyatakan dalam posting saya sebelum ini.

“Adakah salah jika saya menggunakan ilmu dan hujah agama untuk memandu rakyat dan umat Islam dalam setiap pertimbangan dosa dan pahala untuk kemaslahatan umat Islam itu sendiri?

“Adakah salah untuk saya sebagai menteri agama menyeru perkara yang digariskan dalam agama, tanpa melarikan sedikit pun prinsip yang terkandung di dalam al-Quran?

“Atau YB sengaja memercikkan api perkauman dan membesarkan jurang agama dengan menghasut para non-Muslim menjauhi kepercayaan yang diamalkan oleh umat Islam?” katanya dalam catatan di Facebook.

Semalam, Lim dalam catatan Facebooknya meminta menteri tidak cekap, termasuk Idris, meletak jawatan kerana tidak membawa sebarang nilai dalam melaksanakan tugasnya, selain menggugat perpaduan negara dan mengganggu gugat keharmonian agama.

Katanya, Idris telah memalukan mangsa serangan seksual beragama Islam yang mendedahkan kisahnya kepada umum dan cuba mengganggu serta mengganggu gugat gaya hidup, hak adat dan amalan budaya orang bukan Islam.

“Hadiah terbaik yang boleh diberikan oleh menteri-menteri yang tidak cekap ini kepada Malaysia ialah meletakkan jawatan dan membiarkan menteri yang berwibawa mengambil alih atau jika tidak, lebih banyak negara akan mengatasi kita,” kata Lim.

Idris berkata, pembangkang hanya tahu mencari kesalahan terhadap usaha baik kerajaan dan menuding semua kesalahan pada zaman pemerintahan Pakatan Harapan kepada kerajaan terdahulu.

Katanya, ada banyak lagi tugas yang perlu dilakukan berbanding melaga-lagakan isu perkauman yang sering dikompangkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya khuatir nanti rakyat melihat kamu seperti ayam berak kapur. Pandai berkokok, tapi ekor penuh najis!”

Minggu lalu, Idris dikritik atas kenyataannya berhubung seorang pelakon remaja yang baru-baru ini mendedahkan dia dicabul bapanya ketika masih muda.

Beliau dipetik Berita Harian sebagai berkata, remaja berusia 15 tahun itu sepatutnya menutup aib sendiri dan membuat laporan polis bagi mendapat pembelaan undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.