Tak terima peruntukan RM20,000 sejak Januari tanpa notis, kata ADUN PAS Pahang

Tak terima peruntukan RM20,000 sejak Januari tanpa notis, kata ADUN PAS Pahang

ADUN Panching, Tarmizi Yahaya percaya tindakan itu berpunca daripada kemelut Muafakat Nasional di peringkat pusat.

Peruntukan RM20,000 yang disalurkan sejak kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih pentadbiran Putrajaya pada Mac 2020, ditamatkan tanpa sebarang notis mulai awal tahun ini, kata ADUN Panching, Tarmizi Yahaya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang ADUN PAS di Pahang mendedahkan semua wakil rakyat parti itu tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri yang ditadbir Umno-Barisan Nasional (BN) sejak Januari tahun ini.

ADUN Panching, Tarmizi Yahaya berkata, peruntukan RM20,000 yang mula disalurkan kepada mereka sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran Putrajaya pada Mac 2020, ditamatkan tanpa sebarang notis mulai awal tahun ini.

Beliau percaya tindakan itu berpunca daripada kemelut Muafakat Nasional (MN) di peringkat pusat yang sehingga kini masih tiada noktah.

“Kami ADUN PAS tak terima peruntukan sebanyak RM20,000 sejak Januari. Ia ditamatkan tanpa sebarang notis. Kami tak dimaklum, tak dipanggil berjumpa untuk berbincang,” katanya kepada FMT.

“Ada kemungkinan (tamat sebab MN), sebab bila ada isu di peringkat MN, bermula dari situ, Umno mula hentikan peruntukan,” katanya yang menuntut kerajaan Umno-BN Pahang memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

Daripada 42 kerusi DUN, PAS mempunyai lapan wakil rakyat, iaitu Tahan (Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin) dan Damak (Zuridan Mohd Daud) dalam Parlimen Jerantut; Beserah (Andansura Rabu) dalam Parlimen Indera Mahkota; Tanjung Lumpur (Rosli Abdul Jabar) dalam Parlimen Kuantan; Panching dalam Parlimen Paya Besar; Luit (Mohd Sofian Abd Jalil) dan Chenor (Mujjibur Rahman Ishak) dalam Parlimen Maran; dan Jengka (Shahril Azman Abd Halim) dalam Parlimen Kuala Krau.

Semalam, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari mendedahkan ADUN PAS di Pahang tidak menerima sebarang peruntukan dari kerajaan negeri pimpinan Umno-BN. Ini berbeza dengan situasi di Kelantan dan Terengganu, di mana ADUN Umno masih menerima peruntukan daripada kerajaan negeri, walaupun tidak bersama dalam pentadbiran.

Mengambil kira situasi di negeri pimpinan PAS, iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah yang masih menyalurkan peruntukan sama rata kepada ADUN Umno, Tarmizi mahu ia turut diamalkan di Pahang demi agenda pembangunan umat Melayu Islam di negeri itu.

“Yang jadi ADUN PAS di Pahang semua Melayu Islam. Kalau peruntukan disekat, mereka sekat peruntukan untuk umat Melayu Islam sebenarnya,” katanya yang menyifatkan tindakan kerajaan negeri itu keterlaluan.

Mengulas semangat MN di Pahang, beliau berkata, walaupun di peringkat pusat, agenda MN dilihat tegang, namun di peringkat bahagian, hubungan PAS dan Umno masih mesra.

“PAS di Pahang dengan ahli Umno di peringkat bawah, kami masih ‘menikmati’ hubungan MN itu. Kita tak pernah serang Umno-BN di Pahang dan tak pernah serang kerajaan negeri, seperti mana yang dilakukan Umno di Terengganu dan Kelantan.”

Tarmizi juga mengingatkan pentadbiran Umno-BN bahawa kuasa yang diperolehi parti itu ketika ini adalah dukungan partinya dan Bersatu.

“Ikutnya, (kerajaan) Umno Pahang dapat peruntukan daripada kerajaan pusat, dia kena ingat antara jasa dia dapat peruntukan itu ialah hasil dukungan Bersatu dan PAS di peringkat pusat. Peruntukan (disalurkan kerajaan pusat), kerajaan negeri ambil, tapi tak disalurkan kepada ADUN PAS. Ini tidak adillah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.