‘Kami parti nyamuk, tapi pernah tumbangkan BN’, kata Warisan

‘Kami parti nyamuk, tapi pernah tumbangkan BN’, kata Warisan

Presidennya Shafie Apdal turut menegaskan bahawa Warisan sudah bersiap sedia  menghadapi PRU15 dan hanya fokus untuk bekerjasama dengan rakyat.

Shafie Afdal (tengah) disambut penyokongnya pada program jelajah Warisan di Lahad Datu, hari ini.
LAHAD DATU:
Walaupun menganggap partinya sebagai ‘parti nyamuk’, Presiden Warisan, Shafie Apdal menyatakan mereka telah bersiap siaga menyahut gendang perang untuk bersaing dengan parti besar pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Shafie berkata, ia termasuklah kesediaan untuk bertembung dengan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini menjadi kerajaan negeri.

“Kami hanya ‘parti nyamuk’, tetapi kami (Warisan) pernah menumbangkan Barisan Nasional (BN) di Sabah pada PRU lalu.

“Warisan telah pun bersedia untuk memasuki gelanggang PRU15,” katanya pada sidang media selepas program jelajah parti itu di Lahad Datu, hari ini.

Shafie berkata, GRS yang kini memerintah Sabah juga tidak ubah seperti BN kerana pemimpinnya juga ‘berasal’ daripada gabungan berkenaan.

“Hanya pakaian saja ditukar, kalau dulu hanya warna biru tapi kali ini ada warna merah, putih dan ada bintang,” katanya.

Sementara itu, Shafie mendakwa kerajaan yang ada sekarang hanyalah sebuah kerajaan yang dibina atas nafsu dan bukannya sebuah gabungan seperti dianggap oleh rakyat.

“Slogan kerajaan gabungan hanya supaya sedap didengar rakyat tetapi sebenarnya tiada penyatuan, Umno mahu jadi perdana menteri, Muhyiddin (Yassin) mahu jadi perdana menteri, adakah penyatuan?

“Ini kerjasama atas nafsu saja, demi kejar jawatan dan projek,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Semporna itu terus membayangkan Warisan akan bergerak solo sama ada di Sabah atau di Semenanjung pada PRU15 nanti.

“Kita tidak nyatakan dengan siapa kita mahu bekerjasama kerana kita sudah pernah merasainya, (bekerjasama) dengan PH, dan saya juga pernah bersama BN sebelum ini.

“Bagi Warisan ialah bekerjasama dengan rakyat kerana yang menentukan siapa menubuhkan kerajaan adalah rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.