Mahasiswa rakyat Malaysia ditahan di Mesir telah dibebas, kata Saifuddin

Mahasiswa rakyat Malaysia ditahan di Mesir telah dibebas, kata Saifuddin

Pada 18 Sept, menteri luar itu mengesahkan penahanan pelajar dari Universiti Al-Azhar oleh pihak berkuasa Mesir, namun punca ditahan tidak dinyatakan.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah menasihatkan rakyat Malaysia sentiasa peka dan mematuhi undang-undang negara tuan rumah di mana mereka berada. (Gambar Al-Azhar University)
PUTRAJAYA:
Seorang mahasiswa rakyat Malaysia di Universiti Al-Azhar yang sebelum ini ditahan pihak berkuasa Mesir sudah pun dibebaskan, pada petang 24 Sept.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah dalam kenyataan, berkata mahasiswa itu berada dalam keadaan baik dan akan meneruskan pengajian di universiti tersebut.

Katanya, Kementerian Luar bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar Republik Arab Mesir melalui Kedutaan Malaysia di Kaherah serta Kedutaan Republik Arab Mesir di Kuala Lumpur bagi memastikan kebajikan mahasiswa itu terpelihara.

“Kerajaan Malaysia juga merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada Kerajaan Republik Arab Mesir atas kerjasama erat dalam perkara ini,” katanya.

Saifuddin berkata kementerian sentiasa prihatin akan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara.

Beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia sentiasa peka dan mematuhi undang-undang negara tuan rumah di mana mereka berada.

Pada 18 Sept, Saifuddin mengesahkan penahanan seorang pelajar Malaysia di universiti itu oleh pihak berkuasa Mesir.

Bagaimanapun, punca pelajar itu ditahan tidak dinyatakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.