Nak kerjasama jangan letak syarat ‘Puteri Gunung Ledang’, Tuan Ibrahim beritahu Zahid

Nak kerjasama jangan letak syarat ‘Puteri Gunung Ledang’, Tuan Ibrahim beritahu Zahid

Timbalan presiden PAS itu berkata tindakan presiden Umno meletakkan syarat 'berat' tidak memenuhi hasrat yang sama.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man tidak bersetuju dengan sikap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang meletakkan tiga tuntutan terutama membabitkan hubungan PAS dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
PETALING JAYA:
PAS mengingatkan Umno supaya tidak meletakkan syarat ‘Puteri Gunung Ledang’ sekiranya ingin bekerjasama.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sekiranya Umno meleletakkan syarat “berat” itu, ia tidak akan memenuhi hasrat yang sama.

“Kita seboleh mungkin kalau boleh nak pakat tiga parti dan kita pun tahu, dua parti bagus, tapi tiga (parti) lagi bagus, kita kena ambil yang terbaik,” katanya dalam sidang media selepas Ceramah Jentera PAS Selangor yang disiarkan secara atas talian.

Tuan Ibrahim berkata demikian selepas diminta mengulas tiga tuntutan dikemukakan Umno jika mahu menjalinkan kerjasama politik bagi berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum itu, berkata tiga tuntutan itu adalah keluar daripada Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka “mufarakah” (berpisah) 100% daripada PN dan Bersatu.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, PAS akan berjumpa dengan pimpinan Umno bagi mengadakan perbincangan berhubung syarat terbabit.

“Jadi dalam konteks kerangka muafakat ini kita ada masa untuk bincang saya suka cari titik persamaan, jangan letak syarat bukan-bukan, pelik-pelik,” katanya.

Ditanya, bila pertemuan itu akan berlangsung, Tuan Ibrahim berkata “masa belum boleh beri tahu lagi”, sambil menambah pemimpin PAS dan Umno sentiasa berhubung memandangkan mereka berada dalam kerajaan persekutuan.

Sementara itu, Tuan Ibrahim ketika ditanya pendirian parti itu berhubung hasil mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang mencapai konsensus supaya PRU15 hendaklah diadakan tahun ini, berkata, “tidak sesuai”.

“Saya dah sebut kita masih ada masa, tempoh masa masih panjang, sekiranya dalam situasi tak stabil, kita tak tahu banjir tak banjir tapi kemungkinan. Biasa bula November, Disember berlaku banjir, oleh kerana kalau waktu itu kita adakan PRU, saya kira tak sesuai.

“Kabinet akan bincang, dan perdana menteri akan maklum kerana kita anggota kabinet bersama dari semua parti, bila dia nak bubar walaupun hak progretif perdana menteri mengadap Yang di-Pertuan Agong bila tarikh dicadangkan, terpulang pada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.