
Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki menafikan ia cuba bersikap rasis dalam siasatan ke atas buku Thomas demi meraih sokongan orang Melayu dan mendakwa Rafizi tidak mengambil berat kebebasan badan kehakiman.
Beliau bertanya jika Rafizi akan menyokong penyokong tegar Umno dilantik sebagai peguam negara, atau Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dipilih sebagai ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Asyraf berkata, ini yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) ketika ia berkuasa, dengan melantik Thomas sebagai peguam negara dan bekas pemimpin PKR, Latheefa Koya sebagai ketua SPRM.
“Kenapa pula masa itu Rafizi tidak pernah bersuara? Jika Umno buat yang sama, adakah Rafizi akan terima?” soalnya dalam catatan Facebook.
Beliau turut mempersoalkan jika penyalahgunaan kuasa dalam pelantikan hakim dan pendakwaan terpilih tidak penting buat Rafizi.
“Mungkin sebab Rafizi terhutang budi kepada Tommy sebab masa Tommy jadi peguam negara, banyak kes-kes jenayah Rafizi telah digugurkan, termasuk satu kes di mana Rafizi sudahpun disuruh bela diri.”
Semalam, Rafizi berkata, Pemuda Umno cuba membakar api perkauman berhubung siasatan ke atas memoir Thomas bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”.
Beliau mendakwa tindakan itu tidak berguna kerana rakyat Malaysia, khasnya pengundi Melayu, lebih bimbang kehidupan mereka berbanding kandungan buku itu.
Asyraf menegaskan Thomas yang “rasis”, bukannya Umno dan bahkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim turut menyelar Thomas atas tulisannya yang berbaur perkauman.
Katanya, siasatan ke atas Thomas bukan langkah terburu-buru, sebaliknya pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan dalam buku itu mengambil masa sembilan bulan untuk menjalankan siasatan.