Kakak rebah, meninggal dunia di tepi pusara adik

Kakak rebah, meninggal dunia di tepi pusara adik

Polis berkata mangsa maut akibat komplikasi jantung dalam kejadian di sebuah tanah perkuburan Islam di Lubok China, Melaka.

Ketua Polis Alor Gajah Arshad Abu, berkata mangsa sebelum kejadian kerap memandu berseorangan mengunjungi kubur adiknya.
PETALING JAYA:
Seorang kakak meninggal dunia di tepi pusara adik lelakinya akibat komplikasi jantung, dalam kejadian di Tanah Perkuburan Islam Lubok China, Alor Gajah, Melaka, semalam.

Suhaidzra Abd Zahar, 46, yang masih bujang, dikatakan rebah mengejut di tepi kubur arwah dalam kejadian kira-kira 10.45 pagi itu. Arwah sebelum ini kerap memandu mengunjungi pusara adiknya itu dari Seremban 2, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Alor Gajah Arshad Abu, berkata adik lelaki Suhaidzra, Mohd Hairi meninggal dunia, pada 4 Nov 2021.

“Selepas kematian adiknya, Suhaidzra kerap memandu bersendirian dari Seremban 2 ke kampungnya di Lubok China untuk mengunjungi pusara arwah.

“Namun, semalam ada saksi melihat dia tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri di tepi pusara adiknya sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Lubok China oleh orang awam, namun disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya menurut Berita Harian.

Menurut Arshad, Suhaidzra yang bekerja sebagai kerani di sebuah firma guaman di Seremban 2 adalah anak ketiga daripada sembilan beradik.

“Jenazah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk tindakan lanjut. Pegawai perubatan mengesahkan dia meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

“Siasatan polis juga mendapati tiada unsur jenayah dalam kematiannya dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.