Sidang Dewan Rakyat batal

Sidang Dewan Rakyat batal

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun berkata pembatalan itu susulan pembubaran Parlimen yang diumumkan perdana menteri.

Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 yang sebelum ini dijadual bersidang selama 32 hari dibatalkan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 yang sebelum ini dijadual bersidang selama 32 hari, dibatalkan selaras dengan pembubaran Parlimen.

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun, berkata berikutan itu Persidangan Kamar Khas, Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas, turut dibatalkan.

“Saya telah menerima Proklamasi Perisytiharan Pembubaran Parlimen Ke-14 berkuat kuasa hari ini (10 Okt) yang ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menjalankan kuasa yang diberikan kepada Baginda bawah Perkara 55 (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru urusan selanjutnya akan terletak kepada bidang kuasa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan proses pilihan raya umum,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas yang disiarkan menerusi siaran langsung stesen televisyen tempatan, mengumumkan pembubaran Parlimen dan menyatakan bahawa ia dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, “kerajaan pintu belakang” dan “kerajaan tebuk atap”.

Perdana menteri, berkata dengan pembubaran itu, mandat akan dipulangkan kepada rakyat bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 yang dijadual bersidang selama 32 hari, hanya sempat bersidang selama lima hari bermula 3 Okt, dengan tumpuan kepada pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 (Bajet 2023) yang dibentangkan Menteri Kewangan Zafrul Tengku Aziz pada Jumaat lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.