
Amirudin berkata, Tuanku berkenan agar pentadbiran ini diteruskan supaya dapat memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat Selangor.
“Saya telah menyembah maklum komitmen dan persiapan kerajaan negeri dalam mendepani kemungkinan situasi banjir di Selangor, usaha pemulihan ekonomi, bantuan kebajikan, serta persiapan Belanjawan Selangor 2023 yang akan dibentangkan dalam sesi Dewan Negeri Selangor pada tahun ini.
“Tuanku berkenan agar pentadbiran ini diteruskan supaya dapat memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi membuka laluan kepada PRU15. Pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.
Ismail berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya akan menetapkan tarikh untuk penamaan calon, hari mengundi serta urusan lain, selain menggesa kerajaan negeri membubarkan DUN masing-masing, susulan pembubaran Parlimen, kecuali DUN di Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor.
Minggu lalu, Pengerusi PH Anwar Ibrahim, berkata tiga negeri PH iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang termasuk Selangor tidak akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini seperti diputuskan dalam mesyuarat majlis presiden gabungan itu.
Manakala, pembubaran di tiga negeri pimpinan PAS iaitu Terengganu, Kedah dan Kelantan hanya akan diketahui selepas mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat di Kuala Lumpur hari ini.