
Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin, berkata tindakan mereka menghantar surat itu dibuat selepas mendapat arahan parti yang memutuskan tidak mahu PRU15 diadakan.
Katanya, keadaan sama juga dihadapi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob apabila bertindak membubarkan Parlimen kerana mendapat arahan daripada pucuk pimpinan Umno bukan disebabkan pihak lain.
“Perdana menteri sendiri selalu kata beliau ‘party man’ (taat pada parti), jadi saya menghormati cara beliau jawab, sebagai orang parti beliau perlu dengar arahan parti.
“Saya pun ‘party man’ kena dengar kehendak parti. Jika parti kata tak sesuai sekarang pilihan raya, saya ikut sama kata tak sesuai. Sama juga beliau (Ismail), kalau presiden Umno kata nak PRU sekarang beliau perlu akur,” katanya pada sidang media selepas taklimat Op Banjir di Bukit Aman.
Hamzah juga berkata, pendirian perdana menteri berubah-ubah selepas menyalahkan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dan 12 menteri PN menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai punca Parlimen terpaksa dibubarkan.
Katanya, beberapa hari sebelum membubarkan Parlimen, Ismail menyifatkan tindakan 12 menteri PN itu sebagai normal dan menganggap kerajaan masih absah dan tidak tergugat.
“Selepas Parlimen dibubarkan pendirian perdana menteri berubah dan menyatakan tindakan itu menjejaskan keharmonian Jemaah Menteri sehingga menyebabkan kerajaan tidak dapat dipertahankan dan beliau terpaksa membubarkan Parlimen,” katanya.
Semalam, Ismail menyalahkan Muhyiddin dan 12 menteri PN lain kerana menjejaskan keharmonian Jemaah Menteri sehingga menyebabkan kerajaan tidak dapat dipertahankan dan memaksanya membubarkan Parlimen.
Beliau merujuk tindakan 12 menteri terbabit mengutus surat kepada Agong untuk menentang PRU15 diadakan tahun ini dan Muhyiddin mengisytiharkan Barisan Nasional sebagai musuh utama PN pada pilihan raya.
Kenyataan Ismail menyusul titah Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bahawa baginda tiada pilihan kecuali memperkenankan permintaan perdana menteri untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 kerana kecewa dengan perkembangan politik semasa.