
Beliau mendakwa, ia merupakan sebahagian propaganda politik diterajui kerajaan Barisan Nasional, sambil menyatakan “sekadar mimpi untuk kembali mendapatkan Batu Puteh selepas kehilangannya”.
“Pasukan petugas khas membabitkan Batu Puteh sebenarnya bertujuan untuk memalukan kerajaan PH terdahulu dan bekas perdana menterinya, berbanding cuba mendapatkan kembali pulau itu,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, bukan kebetulan bekas peguam negara yang dipecat Mahathir, Apandi Ali, dilantik mengetuai pasukan berkenaan, pada Oktober tahun lalu.
Minggu lalu, pasukan petugas khas itu membentangkan laporannya kepada Kabinet.
Pada 13 Okt, Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob, berkata Kabinet diberitahu kemungkinan berlaku kecuaian dan kekhilafan oleh Dr Mahathir Mohamad terhadap tuntutan kes Batu Puteh.
Ismail dalam kenyataan, berkata Jemaah Menteri dimaklumkan oleh pasukan petugas khas dalam kes itu bahawa Mahathir mungkin telah membuat kesilapan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman, pada 11 Jun 2018, melibatkan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Ketika ditanya berhubung perkara itu, semalam, Pengerusi DAP Lim Guan Eng, berkata dua menteri dalam Kabinet Pakatan Harapan (PH) mengesyorkan Malaysia menarik balik permohonan semakan kehakiman terhadap kedaulatan Batu Puteh yang diberikan kepada Singapura.
Lim yang juga menteri kewangan semasa PH memerintah selama 22 bulan, berkata walaupun beliau tidak “mengikut” isu Batu Puteh, tetapi dalam ingatannya, syor itu dikemukakan menteri undang-undang dan menteri luar dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Saifuddin Abdullah adalah menteri luar, manakala mendiang Liew Vui Keong ialah menteri undang-undang ketika itu. Liew meninggal dunia pada 2020.
Bagaimanapun, Ramasamy percaya PH tidak sepatutnya menarik permohonannya bagi menyemak semula keputusan dibuat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Katanya, Mahathir diberi nasihat salah berhubung peluang Malaysia untuk berjaya dalam permohonan itu dan kosnya rayuan terlalu tinggi.
“Saya diberitahu walaupun Malaysia mempunyai kes kuat dan mungkin juga mendapatkan semula pulau itu, fakta dibentangkan tidak cukup teguh (dan) kurang cekap. Bagi kegagalan sebesar ini, Malaysia perlu menjawab,” katanya.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah milik Malaysia selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Pada Jun 2017, Malaysia membuat permohonan kepada ICJ berhubung pentafsiran penghakiman. Pada 2018, Mahathir menarik semula permohonan membatalkan keputusan ICJ yang memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh.