
Penyandang kerusi Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii membuat gesaan itu selepas kerajaan Sarawak semalam berkata, ia akan mempertimbangkan pemberian subsidi dalam usaha menggalakkan lebih ramai pengundi pulang.
Premier Sarawak, Abang Johari Openg, berkata perkara itu akan dibincangkan secara terperinci bersama pimpinan lain.
Beliau menjawab soalan anak Sarawak yang belajar di Semenanjung berhubung perkara itu dalam satu sesi “town hall” di ibu negara semalam.

Yii berkata, walaupun beliau mungkin mengalu-alukan langkah pemberian subsidi itu jika dilaksanakan, ia hanya penyelesaian jangka pendek.
“Dengan jarak dan kos perjalanan tinggi, undi pos adalah penyelesaian jangka panjang.
“Ini langkah yang saya desak sejak awal lagi bagi melindungi hak rakyat Malaysia Timur untuk mengundi dan memudahkan penyertaan mereka dalam proses demokrasi.
“Hak mengundi bukan hanya hak untuk orang kaya atau mereka yang mampu terbang pulang untuk mengundi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, rakyat Malaysia Timur di negeri lain tidak patut dibebani dari segi kewangan atau terdedah kepada risiko kerana terpaksa pulang ke kampung halaman semata-mata untuk melaksanakan hak mengundi mereka.
“Pembaharuan ini dan banyak lagi boleh dilakukan sebelum pilihan raya diadakan bagi memastikan lebih selamat, adil dan mudah untuk lebih ramai pengundi menjadi sebahagian daripada proses pilihan raya.”
Selasa lalu, Darell Leiking daripada Warisan turut menggesa SPR membenarkan rakyat Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung Malaysia diberi pilihan undi pos atas faktor kos perjalanan pulang mengundi yang mahal.