
Ini menyusuli dua tinjauan yang dijalankan oleh Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) mengenai keadaan jangka pertengahan PKS dan prospek peruncit untuk tahun depan.
Pengerusi Samenta William Ng berkata, sektor runcit menyaksikan peningkatan jualan sebanyak 34.5% tahun ke tahun kepada RM57 bilion pada Ogos, dan hampir semua yakin terhadap baki tahun ini.
“Namun demikian, apabila ditanya mengenai prospek untuk 2023, kebanyakan responden kurang optimistik. Dua daripada setiap tiga peruncit menjangkakan penurunan dalam kedua-dua nilai jualan dan volum.
“Ini didorong oleh ketidaktentuan politik dan ekonomi, peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) dan normalisasi ‘belanja balas dendam’ pasca pandemik,” katanya dalam kenyataan.
Ng berkata, ini juga didorong oleh ketidaktentuan global, seperti potensi peningkatan konflik Rusia-Ukraine, dan ketegangan di Selat Taiwan.
Katanya, PKS berdepan empat cabaran utama, iaitu penurunan jualan, pemulihan yang lebih perlahan berbanding syarikat yang lebih besar, kenaikan kos secara mendadak dan kekurangan pekerja.
Beliau berkata, Samenta sedang bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk membantu peruncit PKS mendigitalkan dan meningkatkan produktiviti, sambil menangani isu kekangan tenaga kerja dan kenaikan kos.
“Biasanya, kami mahu perniagaan dibiarkan bersaing secara adil tanpa campur tangan pihak kerajaan,” kata Ng.
“Tetapi ini adalah masa yang luar biasa, dan kita perlukan intervensi kerajaan secara segera untuk membina semula keyakinan pengguna (dan peniaga), membendung kenaikan kos dan melegakan kekangan tenaga kerja.”