
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia Rosli Sulaiman berkata isu utama bukan pada keperluan menjaga standard halal, tetapi proses permohonan yang dilihat terlalu ketat dan sukar dipenuhi peniaga kecil.
Katanya, ramai usahawan Islam menghasilkan produk makanan dan barangan pengguna yang diyakini halal, namun gagal meluaskan pasaran kerana tidak mempunyai logo halal rasmi.
“Birokrasi sekarang terlalu ketat. Kita minta supaya ia dikurangkan agar peniaga Islam lebih mudah mendapatkan sijil halal.
“Ini bukan bermakna kita mahu longgarkan syarat sampai menjejaskan standard halal, tetapi beri ruang kepada peniaga kecil untuk mematuhi syarat secara berperingkat,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata 67% pengeluar ramuan halal di Malaysia terdiri daripada syarikat bukan berstatus Islam.
Zahid, yang juga pengerusi Majlis Halal Negara, berkata keadaan itu menuntut syarikat milik usahawan Islam lebih terbuka menjalin kerjasama strategik, termasuk dengan pemain industri bukan Islam.
Sementara itu, Naib Presiden Gabungan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Malaysia, Mohamad Abdullah, berkata belum terlambat untuk menjayakan cadangan Zahid supaya usahawan Islam menjalin kerjasama strategik dengan pemain industri bukan Islam.
Katanya, kerjasama itu boleh membantu produk tempatan menembusi pasaran lebih luas, terutama apabila syarikat bukan Islam mempunyai keupayaan dari segi teknologi, pengilangan, pembungkusan dan jaringan pemasaran.
“Mesti beri ruang, namun lebih baik jika produk yang dipasarkan mengekalkan identiti Islam. Ini lebih meyakinkan pengguna Muslim,” katanya.
Mohamad berkata tumpuan tidak seharusnya terhad kepada pemilikan syarikat semata-mata, sebaliknya bagaimana lebih ramai usahawan Islam dapat dibantu menyertai keseluruhan rantaian nilai halal, daripada bahan mentah hingga pemasaran.
Katanya, jika peniaga Islam mahu bersaing dalam pasaran halal yang semakin besar, mereka perlu lebih terbuka kepada kerjasama strategik manakala kerajaan pula perlu memastikan proses pensijilan tidak menjadi penghalang kepada penyertaan mereka.
“Yang penting, standard halal kekal dijaga. Tetapi dalam masa sama, peniaga kecil perlu dibimbing supaya mereka tidak melihat permohonan sijil halal sebagai sesuatu yang terlalu sukar atau hanya sesuai untuk syarikat besar,” katanya.