Suami isteri didakwa ubah wang RM6 juta

Suami isteri didakwa ubah wang RM6 juta

Tan Soon Hin dan isterinya, Teh An See, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan hakim.

Mahkamah membenarkan pasangan itu diikat jamin RM400,000 dan RM500,000 serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
KUALA LUMPUR:
Sepasang suami isteri didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini atas lima pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram berjumlah RM6 juta, dua tahun lalu.

Tan Soon Hin dan isterinya, Teh An See, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid dan Kamarudin Kamsun.

Tan, 43, didakwa melibatkan diri secara tidak langsung dalam transaksi wang RM6,079,922.75 yang dideposit ke akaun semasa Miracle Fortune Trends Enterprise di Maybank Islamic Berhad, dua akaun simpanan dan semasa isterinya di Malayan Banking Berhad, Hong Leong Bank Berhad serta dua akaun semasa Fickle Sdn Bhd di Public Bank Berhad.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Teh, 47, sebagai pemilik tunggal dan pengawal kepada Miracle Fortune serta pengarah Fickle menerima wang RM3,753,805.28 melalui akaun semasa Miracle Fortune di Maybank Islamic Berhad dan dua akaun semasa Fickle di Public Bank Berhad.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, wanita itu didakwa menerima wang RM2,326,117.47 yang merupakan hasil aktiviti haram di akaun simpanannya di Malayan Banking Berhad dan akaun semasanya di Hong Leong Bank Berhad.

Semua pertuduhan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic cawangan Queensbay Mall, Bayan Lepas, Pulau Pinang; Maybank cawangan Sunway Giza, Petaling Jaya; Hong Leong Bank cawangan Pulau Tikus, Pulau Pinang dan Public Bank cawangan Relau, Pulau Pinang, antara 7 Jan 2020 hingga 11 Nov 2021.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut perenggan 4(1)(a) dan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun, didenda sehingga lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana-mana lebih tinggi.

Di hadapan M Bakri, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti (SC), Nurul Rafeeza Hamdan menawarkan jaminan RM800,000 dengan seorang penjamin.

Di hadapan Kamarudin, Timbalan Pendakwa Raya SC, Muhammad Izzat Fauzan menawarkan syarat sama untuk jaminan.

Peguam kedua-dua tertuduh, Lim Kon Keen memohon anak guamnya dikenakan jaminan rendah memandangkan Tan bankrap dan isterinya tidak bekerja, dengan semua akaun bank mereka dibekukan pihak berkuasa.

Mahkamah kemudian membenarkan Tan dijamin RM400,000 dan isterinya RM500,000 berserta syarat tambahan menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada pegawai penyiasat SC sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 16 Jan depan untuk tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.