Nurul Izzah kecam komen Sanusi perkecil calon wanita

Nurul Izzah kecam komen Sanusi perkecil calon wanita

Naib presiden PKR berkata, komen Sanusi itu satu peringatan kepada wanita mengenai nasib hak mereka sekiranya PN memenangi banyak kerusi dalam PRU15.

Nurul Izzah Anwar berkata, Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor terlupa PAS juga meletakkan beberapa wanita sebagai calon dalam PRU15.
PETALING JAYA:
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengecam Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor kerana mengeluarkan komen memperkecilkan kaum wanita yang dibuat terhadap calon wanita Barisan Nasional (BN) di Sik.

Sanusi berkata, BN sepatutnya memilih calon lelaki kerana wanita tidak sesuai dan tidak mampu berkhidmat di Sik yang disifatkannya sebagai sukar kerana kawasannya yang luas serta terpencil dengan ramai penduduk miskin.

Nurul Izzah berkata, kenyataan Sanusi itu adalah satu peringatan kepada kaum wanita mengenai nasib hak mereka sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi banyak kerusi dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Beliau memperkecilkan peranan wanita dan terlupa terdapat juga beberapa calon wanita PAS dalam PRU15,” katanya kepada FMT.

Kenyataan Sanusi yang dirakam dalam satu video yang tular semalam. Dalam video itu beliau mengkritik BN kerana meletakkan Maizatul Akmam Othman sebagai calon kerusi Parlimen Sik.

Sanusi berkata, beliau bukan berniat merendahkan ahli wanita PAS, kawasan itu luas dan terpencil dengan ramai penduduk miskin, namun mendakwa ia diluar kemampuan wanita untuk berkhidmat di kawasan itu.

Nurul Izzah berkata, manifesto Pakatan Harapan (PH) bertujuan memperkasakan wanita dengan memberi beberapa inisiatif seperti subsidi penjagaan anak untuk wanita bekerja dan faedah penjagaan kanak-kanak bagi memastikan setiap kanak-kanak menerima jagaan diperlukan sehingga berusia enam tahun.

“Kami menyasarkan untuk mengukuhkan agenda wanita bagi memastikan setiap ibu di negara ini mempunyai hak yang sama rata,” kata Nurul Izzah yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh bagi penggal kedua.

Calon PH di Sik, Latifah Md Yatim turut mengecam Sanusi kerana memperkecilkan calon wanita.

Katanya, Sanusi perlu cuba mengikat buah kelapa di perutnya bagi merasai pengalaman ibu yang mengandung.

“Cuba ikat buah kelapa di perutnya. Wanita mengandung selama sembilan bulan umpama mempertaruhkan nyawa. Saya nak tanya adakah dia mampu lakukannya,” katanya menurut Malaysiakini.

FMT cuba menghubungi Sanusi untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.