PN, BN takut isytihar harta selepas pegang jawatan tinggi kerajaan, dakwa Anwar

PN, BN takut isytihar harta selepas pegang jawatan tinggi kerajaan, dakwa Anwar

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata sehingga kini belum ada kesediaan dari kedua-dua gabungan itu untuk mengisytiharkan harta sejajar prinsip ketelusan.

Anwar Ibrahim meminta rakyat Pahang memberi sokongan kepada PH demi pembentukan kerajaan yang lebih sempurna serta patuh pada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) belum bersedia mengisytiharkan harta kerana didakwa takut mendedahkan aset yang dikumpulkan selepas memegang jawatan tinggi dalam kerajaan, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.

“Setakat ini belum ada kesediaan dari PN dan BN kepada prinsip ketelusan.

“Ini membuktikan mereka takut dan tidak berani mendedahkan aset mereka kepada rakyat setelah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook ketika menghadiri Jelajah Indera Mahkota, di Pahang.

Presiden PKR itu juga menggesa rakyat di negeri itu bangkit memberi sokongan kepada partinya untuk membentuk kerajaan yang lebih sempurna dan patuh pada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang melihat syarat PKR supaya calonnya mengisytiharkan harta sebagai satu ‘kebodohan’, ketika ditanya sama ada parti itu akan turut sama mengikuti langkah membuat pengisytiharan harta.

Beliau mendakwa, pendekatan itu seolah-olah mahu menunjuk-nunjuk kepada orang ramai.

Sebelum itu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Azmin Ali turut menolak pengisytiharan aset bagi calon, selain menyifatkannya sebagai “sandiwara”.

Calon BN Sungai Buloh Khairy Jamaluddin juga berkata, tidak perlu bagi calon mengisytiharkan harta secara terbuka dan ia hanya perlu dilakukan jika seseorang itu dilantik ke jawatan awam.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, berkata setiap calon parti pada PRU15 perlu melakukan pengisytiharan harta bagi memastikan piawaian yang lebih tinggi untuk pilihan raya akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.