
Katanya, sebarang kenyataan berhubung kerjasama dengan BN tidak berbangkit dan tajuk laporan media juga mengelirukan pengundi.
Beliau berkata, mesej yang cuba disampaikan dalam ceramah di Kampung Kubang Kiat, Kota Bharu semalam ialah beliau yakin PN dapat membentuk kerajaan bersendirian dan perdana menteri daripada gabungan itu.
“Kami percaya rakyat akan lebih yakin dengan tema PN, iaitu prihatin, bersih dan stabil.” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Takiyuddin dipetik Berita Harian sebagai berkata: “Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain, termasuk BN. Apa yang pasti kita tidak menerima Pakatan Harapan (PH) walaupun perlu gabungan.
“Presiden PAS, Abdul Hadi Awang ada menyebut sekiranya kita tidak boleh bergabung sebelum PRU15, mungkin selepas (PRU15) kita boleh wujudkan hubungan itu.
“Rujukan pertama kita adalah BN, bagaimanapun sebarang perbincangan belum dibuat sepanjang tempoh berkempen ini, namun saya yakin BN akan terima. Perbincangan dulu sudah ada, namun ketika kita tidak bersama pun kita ada maklum mungkin kita boleh bersama selepas PRU15,” lapor akhbar itu.
Susulan itu, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, gabungan itu tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN bagi membentuk kerajaan selepas PRU15 dan tujuan PN bertanding pada PRU15 bagi membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau PH.