Klang, Shah Alam sekali lagi dilanda banjir

Klang, Shah Alam sekali lagi dilanda banjir

Kawasan lain di Petaling dan Hulu Langat turut terjejas susulan hujan lebat hingga pagi.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari meninjau Taman Melawis, Klang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Beberapa kawasan di Klang dan Shah Alam dilanda banjir kilat awal pagi tadi susulan hujan lebat yang berterusan hingga pagi.

Kawasan lain di Petaling dan Hulu Langat turut terjejas, menurut Bernama

Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, beliau menerima banyak panggilan daripada orang ramai di Klang yang kecewa dan bimbang dengan keadaan itu.

“Sebahagian kawasan Klang dan Shah Alam ditenggelami air sedalam dua kaki. 48 jam lagi sebelum hari pengundian. Di manakah SOP banjir Suruhanjaya Pilihan Raya?” soalnya di Twitter.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari turut berkongsi di Twitter di mana beliau telah pergi memantau keadaan banjir di Taman Melawis pada 2.45 pagi.

Menurut warganet pula, beberapa kawasan di Sepang turut terjejas dengan jalan terpaksa ditutup selepas dinaiki air.

Terdahulu, Bernama melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menerima 27 panggilan kecemasan di kawasan dilanda banjir dan satu kejadian tanah runtuh.

“Sehingga 3 pagi, tiga pusat pemindahan telah dibuka, masing-masing satu di Masjid Kampung Johan Setia, Bandar Bukit Tinggi 2, dan Sekolah Kebangsaan Ulu Semenyih,” kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Norazam Khamis.

Bomba juga telah menggerakkan 130 anggota dan 17 bot untuk membantu menyelamat mangsa.

Pada 10.40 malam tadi, Jabatan Meteorologi memberi amaran bahawa hujan lebat berlarutan sehingga 4 pagi di seluruh Perlis, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.

Menurutnya, beberapa kawasan di Kedah, Perak, Kelantan, Pahang, dan Johor juga akan terjejas.

Dalam perkembangan sama, setakat 8 pagi ini, seramai 719 mangsa banjir daripada 175 keluarga telah ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS), menurut Berita Harian.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Selangor berkata, PPS bagi daerah Klang membabitkan Masjid Kampung Johan Setia yang menempatkan 195 mangsa daripada 49 keluarga dan Balai MPKK Kampung Jalan Kebun, Batu 7 yang menempatkan 58 mangsa daripada 15 keluarga.

Dua PPS dibuka di Petaling iaitu Dewan Camelia Putra Heights (210 mangsa daripada 53 keluarga) dan Masjid Putra Heights (227 mangsa daripada 51 keluarga).

Hulu Langat pula membabitkan 29 mangsa daripada tujuh keluarga yang ditempatkan di SK Ulu Semenyih.

Antara kawasan dilanda banjir kilat ialah Seksyen 13, Seksyen 22, Padang Jawa, i-City di Shah Alam. Di Klang ia melibatkan Taman Sentosa; GM Klang; Kondominium Dinasti Klang; Bandar Klang; Taman Chi Liung; Pangsapuri Taman Permai Indah dan Jalan Yadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.