Kenyataan Rafizi terhadap ketua SPRM bersifat angkuh, sombong, kata Azmin

Kenyataan Rafizi terhadap ketua SPRM bersifat angkuh, sombong, kata Azmin

Pengarah Pilihan Raya PN Azmin Ali berkata, kenyataan timbalan presiden PKR itu memperlihatkan wataknya yang cuba mendera anggota perkhidmatan awam.

Rafizi Ramli dipetik media sebagai berkata, PH akan “mencari” Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki sekiranya pakatan itu menang pada PRU15.
PUTRAJAYA:
Kenyataan berbaur ugutan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki disifatkan Azmin Ali sebagai angkuh dan sombong.

Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kenyataan Rafizi itu juga memperlihatkan wataknya yang cuba mendera anggota perkhidmatan awam.

Katanya, anggota perkhidmatan awam hanya menjalankan tugas yang diputuskan oleh kerajaan dan bukan ahli politik.

“Jangan bermusuh dengan anggota perkhidmatan awam … tiada keperluan tetapi mungkin ini sudah ditakdirkan begitu.

“Anggota perkhidmatan awam boleh lihat sendiri watak PH,” katanya kepada pemberita selepas Rapat Umum Era Baharu Putrajaya di sini hari ini.

Ketika Ceramah Mega PH di Johor Bahru pada Rabu, Rafizi dipetik media sebagai berkata PH akan “mencari” Azam jika pakatan itu menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara menggesa SPRM menyiasat harta lebih RM18 juta yang diisytiharkan Rafizi, calon PH Parlimen Pandan.

Ditanya mengenai tindakan Pengerusi DAP Lim Guan Eng menyamannya kerana didakwa membuat kenyataan palsu, Azmin berkata: “Itu terpulang hak masing-masing, saya hanya kemuka beberapa perkara yang telah buat PH ditolak oleh rakyat.”

Media semalam melaporkan bahawa Lim mengarahkan peguamnya untuk memulakan prosiding saman fitnah terhadap Azmin kerana membuat kenyataan palsu dengan mendakwa beliau menyalahgunakan kuasa sebagai menteri kewangan.

Menurut Lim, Azmin mendakwanya menggunakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengejar “syarikat yang dikaitkan dengan MCA”, mengenakan cukai baharu ke atas perniagaan dan mengenakan cukai tambahan ke atas “perniagaan Cina” tertentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.