
Pemangku Ketua Polis Dungun, Jumaidy Bah Chong Weh, berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditahan semalam susulan laporan oleh ibu kandung mangsa yang berusia 30 tahun di Balai Polis Bukit Besi pada 5.36 petang hari sama, dan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini untuk direman hingga 17 Mei ini.
“Hasil siasatan mendapati ibu mangsa menyedari jari manis tangan kiri anaknya terdapat kesan melecur dan mangsa memberitahunya, suspek membakar jarinya menggunakan pemetik api disebabkan nakal, perkara itu turut diakui oleh suspek.
“Pemeriksaan fizikal ke atas mangsa mendapati kesan luka yang telah sembuh di bahagian jari manis sebelah kiri dan tiada kecederaan lain ditemui pada tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jumaidy berkata pada 3 Mei, mangsa pernah memberitahu seorang ahli keluarga bahawa suspek didakwa mencekik leher dan memijak perutnya, namun tiada saksi yang melihat kejadian tersebut.
Beliau berkata mangsa yang bersekolah di sebuah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) di Bukit Besi dibawa ke Hospital Dungun untuk pemeriksaan pada 8 malam tadi.
“Suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau didapati negatif dadah ditahan pada 5.50 petang hari yang sama,” katanya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan penderaan atau penganiayaan terhadap kanak-kanak.