
Ketua Polis Baling, Brandon Richard Joe, berkata semua rampasan itu dilakukan pada Rabu lepas, hasil soal siasat terhadap suspek lelaki berusia 45 tahun yang kini masih ditahan reman.
“Suspek telah mendedahkan kewujudan senjata api yang disembunyikan. Hasil pemeriksaan, kita menemui senjata tersebut di bahagian dapur dan loteng rumah suspek. Setakat ini, keseluruhan rampasan membabitkan tiga laras senapang dan empat pucuk pistol termasuk dua pistol tiruan,” katanya pada sidang media.
Siasatan awal mendapati suspek memperoleh senjata api dan peluru berkenaan sejak awal tahun lepas daripada seorang kenalan di negara jiran sebelum dibawa masuk ke negara ini melalui sempadan di Pengkalan Hulu, Perak.
“Kita masih menyiasat tujuan suspek menyimpan senjata api berkenaan. Suspek tidak mempunyai rekod permohonan lesen senjata api,” katanya.
Suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah sehingga esok bagi membantu siasatan lanjut.
“Setakat ini, kita juga belum dapat memastikan sama ada senjata yang dirampas pernah digunakan untuk melepaskan tembakan kerana ujian balistik masih belum dijalankan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan mekanik berkenaan ditahan pada 1 Mei lepas di sebuah bengkel miliknya, selepas didapati memiliki lima senjata api termasuk sepucuk pistol tiruan.