Tiba masa untuk ‘move on’, pemimpin PKR beritahu Muhyiddin

Tiba masa untuk ‘move on’, pemimpin PKR beritahu Muhyiddin

Timbalan Ketua Penerangan PKR Razeef Rakimin berkata, Muhyiddin perlu menjadi Ahli Parlimen yang boleh menjadi semak dan imbang di Dewan Rakyat berbanding mempersoalkan kebijaksanaan Agong.

Timbalan Ketua Penerangan PKR Razeef Rakimin berkata tindakan Muhyiddin mempersoalkan perlantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri akan menimbulkan kemarahan rakyat.
PETALING JAYA:
Pemimpin PKR menasihati Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin supaya segera “move on” selepas tidak dipilih menjadi perdana menteri ke-10.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin berkata, Muhyiddin perlu menjadi Ahli Parlimen yang boleh menjadi semak dan imbang di Dewan Rakyat bagi memastikan aspirasi semua pihak dapat dilaksana segera.

Katanya, tindakan Muhyiddin yang mempersoalkan perlantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri akan menimbulkan kemarahan rakyat kerana tidak menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong.

“Sikap Muhyiddin yang dilihat seolah mempersoal kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dilihat sebagai tindakan yang sangat biadap dan merupakan satu penderhakaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga menyifatkan Muhyiddin sebagai seorang yang angkuh dan sombong kerana menolak titah Agong untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Katanya, Muhyiddin juga tidak menyebut berkenaan titah Agong berhubung penubuhan sebuah kerajaan perpaduan selepas kedua-dua pihak tidak mendapat majoriti mudah.

“Saya yakin Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah meneliti kesemua pihak dan dalam usaha negara keluar dari krisis pasca pandemik.

“Kesatuan antara semua pihak sangat penting bagi menjamin sebuah kerajaan stabil yang boleh fokus kepada pemulihan negara,” katanya.

Terdahulu Muhyiddin bertegas beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk memimpin kerajaan.

Beliau turut menyeru Anwar membuktikan beliau disokong majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menjadi perdana menteri.

Muhyiddin menambah, beliau bukannya mempertikaikan penubuhan kerajaan perpaduan tetapi pelantikan Anwar sebagai perdana menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.