
Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Ahmad Khirrizal Ab Rahman, berkata Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan melantik Wan Rosdy sebagai menteri besar.
Khirrizal berkata, Tengku Hassanal telah berkenan menerima menghadap dan mendengar cadangan, usul serta hasrat pimpinan parti politik yang terbabit susulan keputusan PRU15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.
“Pemangku Raja Pahang selanjutnya telah memperkenankan pembentukan kerajaan Pahang daripada BN dan PH.
“Berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Raja Pemerintah sebagaimana yang dinyatakan dalam Bahagian II, Perkara 3.(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Pemangku Raja Pahang telah berkenan untuk melantik Wan Rosdy sebagai menteri besar Pahang,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, majlis pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan menteri besar Pahang akan diadakan di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, 11 pagi esok.
PRU15 lalu menyaksikan DUN Pahang tergantung selepas tiada parti mendapat majoriti mudah 21 kerusi untuk membentuk kerajaan.
Perikatan Nasional menang 17 kerusi diikuti BN (16) dan PH (lapan).
Bagaimanapun, kebuntuan itu terlerai selepas PH menyatakan sokongan kepada BN untuk membentuk kerajaan dan menyokong menteri besar daripada gabungan itu.